Hiburan
Anak Kongsi Tarikh Lahir Dengan Arwah Abang, Aril Sebak Terkenang Izwan Pilus
Penyanyi Khairil Azam Pilus atau Aril sebak ketika mengazankan bayinya yang baru lahir kerana terkenangkan arwah abangnya, penyanyi Izwan Pilus.
Aril berkata, arwah Izwan pasti menjadi insan paling gembira jika ada bersama menyambut kelahiran anak sulungnya pada malam Selasa baru-baru ini.
“Tiba-tiba saya terkenangkan arwah abang semasa mahu mengazankan anak saya. Saya dapat bayangkan betapa gembiranya dia jika masih ada. Tambah-tambah lagi tarikh lahir mereka sama iaitu pada 24 November.
“Ibu saya juga sangat gembira kerana dia turut berkongsi tarikh lahir dengan anak sulung saya. Syukur kepada Allah kerana semuanya berjalan lancar,” katanya kepada Astro Gempak.
Menurut Aril, isterinya Puteri Erma Edlinda Megat Aminuddin selamat melahirkan bayi lelaki yang sihat seberat 3.6 kilogram secara normal di Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur.
“Saya berada di sisi isteri dari mula sehingga dia selamat melahirkan bayi kami. Luluh hati saya melihat isteri menahan sakit bersalin.
“Ketika itu terbit rasa insaf dalam diri ini. Saya menangis sebaik sahaja dapat menatap wajah bayi,” ujarnya.
Tambah Aril, Puteri akan berpantang di rumah ibunya di Kelantan.
Aril pada petang Rabu, telah berkongsi berita mengenai kelahiran bayi sulungnya di akaun Instagram.
Sebelum itu pada Selasa, Aril telah menulis status yang agak menyentuh hati di akaun Instagram sebelum anak sulungnya dilahirkan.
Menerusi status tersebut, Aril turut meluahkan rasa rindunya kepada arwah Izwan. Di kesempatan ini marilah sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat arwah Izwan, semoga rohnya dicucuri rahmat.
Teks Oleh: Hafiza Kamarudin