Hiburan
Anak Kunti Cetus Kengerian Kawasan Desa! Misteri Spiritual & Interprestasi Moden Dari Naskah Legenda Indonesia
Sebuah syarikat penerbitan yang berpengkalan di Jakarta, ST Media dengan kerjasama Drias Film Production bersama platform digital KipasKipas mempersembahkan filem berjudul Anak Kunti.
Anak Kunti merupakan filem seram terbaru arahan pengarah prolifik Indonesia, Bambang Drias dengan naskah skrip yang ditulis oleh Baskoro Adi.
Filem ini juga bakal ditayangkan serentak di 9 buah negara bukan sahaja di Indonesia tetapi juga di Malaysia, Singapura, Brunei, Pakistan, dan Bangladesh.
Anak Kunti dijadualkan untuk tayangan di Thailand, Vietnam dan India menjelang bulan April 2025 termasuk di Turki pada Jun 2025, bersama beberapa negara lain yang merupakan pasaran strategik bagi kandungan Asia Tenggara.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan rangkaian kandungan kreatif keperingkat antarabangsa, ST Media mengambil langkah besar dengan menerbitkan bersama filem Anak Kunti bersama Drias Production, KipasKipas dan Horizon Film Entertainment.
Ini merupakan filem Indonesia kedua terbitan bersama ST Media berganding dengan syarikat penerbitan terkemuka Indonesia.
Transformasi Kreatif Legenda Kuntilanak
Dengan berlatar masa tahun 90-an, Anak Kunti membawakan interpretasi moden terhadap legenda Kuntilanak atau lebih dikenali sebagai Pontianak di Malaysia.
Filem ini mengisahkan Sarah (Gisellma Firmansyah), seorang pelajar pesantren yatim piatu yang kembali ke Desa Wonoenggal untuk menyelidiki masa lalu dan asal-usul keluarganya.
Kepulangannya mencetuskan kengerian di kawasan desa apabila muncul Kuntilanak yang dipercayai jelmaan ibu kandungnya, yang meninggal dunia ketika melahirkan anak kembar di tengah-tengah kekacauan desa.
Dengan tempoh tayangan selama 94 minit, filem ini menggabungkan elemen ketegangan psikologi dan ‘supernatural’, serta didokong oleh teknologi audio Dolby Atmos untuk mencipta pengalaman menonton yang lebih impresif.
Kolaborasi Pasukan Kreatif dan Berdedikasi
Filem ini menandakan kolaborasi pertama antara Afif Shari dan Furqan Adnan (Pengarah Urusan ST Media) sebagai penerbit eksekutif bersama dengan Drias Film Production.
“Ini adalah kolaborasi pertama saya dengan Bambang Drias. Hasilnya di luar jangkaan, dan saya yakin penonton akan terpesona dengan estetik sinematografi terutamanya naratif penceritaannya,” ujarnya.
Sementara itu, Furqan Adnan juga turut meluahkan rasa terujanya.
“Sebagai peminat filem, ‘Anak Kunti’ bukan sekadar filem seram biasa namun ianya juga mempunyai lapisan cerita kritikan sosial yang boleh diangkat sebagai cerita seram yang unik,” ujarnya.
Selain daripada tayangan di Asia Tenggara, Anak Kunti turut menyasarkan pasaran di seluruh Asia Tenggara.
Filem ini juga diterbitkan oleh gabungan penerbit-penerbit berpengalaman dari Malaysia dan Indonesia iaitu Khairul Kassim, Noah EH, Harith Baharudin, Avesina Soebli, Wendy Christian, Izwan Daini, Shahir Sulaiman dan Jonathan HM, dengan sokongan teknologi digital daripada Nuon dan Blueray Cargo.
Filem Anak Kunti menampilkan pelakon Gisellma Firmansyah, Nita Gunawab, Abun Sungkar, Jajang C Noer, Iwa K, Wavi Zihan, Ruth Marini dan ramai lagi.
Tayangan rasmi pawagam di Malaysia adalah pada 20 Februari 2025.
Must-Watch Video