Laman Utama
Anak Persis ‘Kylie Jenner’, Mustapha Kamal Akui Tak Gemar Salsabil Qur’ani Ceburi Bidang Seni - “Bukan Mahu Menghalang Tapi Saya…”
Anak perempuan kepada pelakon Mustapha Kamal iaitu Salsabil Qur'ani, menjadi perhatian apabila wajah gadis berusia 19 tahun itu dikatkan menyerupai personaliti terkenal Kylie Jenner.
Menganggap semua orang memiliki keistimewaan sendiri, Mustapha bagaimanapun mengakui dia tidak gemar anak-anak menceburi bidang seni sepertinya dan isteri yang juga aktres Susan Manen.
"Bagi saya, semua insan cantik dan memiliki keistimewaan masing-masing. Namun, sebagai artis, saya tidak gemar anak-anak mengikut jejak saya dan isteri.
“Tapi saya lihat Salsabil pula menunjukkan minat dan kecenderungan dalam bidang seni. Saya bukan mahu menghalang, tetapi saya mempunyai banyak pengalaman dan mengetahui selok belok industri selama lebih 35 tahun.
"Jadi, ada perkara yang saya rasakan tidak sesuai dengan anak-anak. Tetapi, saya sukar mahu menjelaskannya, mungkin boleh faham sendiri soal ini," katanya kepada Gempak.
Mustapha turut memberitahu dia sendiri yang akan menolak tawaran berlakon jika watak yang diberikan tidak bersesuaian dengan usia anaknya.
"Saya terpaksa tolak sekiranya ada tawaran tidak bersesuaian dengan umur Salsabil. Mungkin ada watak lebih sesuai pada masa akan datang.
"Jika ikutkan Salsabil sudah 'shooting' sejak kecil dan membintangi banyak iklan. Malah, kalau tak silap, ketika mengandungkan Salsabil pun isteri menjayakan iklan Ribena.
"Jadi, daripada dalam perut ibunya lagi Salsabil sudah berkecimpung dalam bidang seni. Salsabil juga pernah berlakon dalam filem produksi Filipina, I Miss You Like Crazy bersama Hans Isaac,” ujarnya.
Selain Salsabila, Mustapha dan Susan turut mempunyai tiga orang cahaya mata lagi iaitu Sabella Qawiema, Aulia Qayyiem dan Naqli Qaddiem.
Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!