Laman Utama
Anak Tunggal Cerita Penyakit & Punca Penyanyi Ayam Den Lapeh Meninggal Dunia
Penyanyi senior Indonesia, Elly Kasim mengejutkan dunia hiburan tempatan apabila dilaporkan meninggal dunia, semalam. Menurut rakan seangkatannya, mereka terkejut mendengar khabar duka itu kerana tidak pernah sedar Allahyarham mempunyai penyakit kronik.
Elly yang cukup terkenal dengan hit Ayam Den Lapeh kerana dipopularkan Diva Anita Sarawak di Malaysia, menghembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun di Hospital MMC Kuningan.
Menurut laporan Insertlive, anak perempuan tunggal penyanyi yang mengangkat kegemilangan lagu lagu Minang ini meninggal dunia kerana organ dalamannya rosak akibat jangkitan radang usus.
Risallina Mustika menjelaskan: "Pada awalnya Allahyarham mengalami sakit lambung (GERD), terkena jangkitan pada tahun 2000 namun telah sembuh.
"Tapi penyakit itu datang semula sehingga ibu mengalami sakit yang membuatkan seluruh organ badannya termasuk ginjal dan hati rosak kerana jangkitan radang usus yang berpunca dari penyakit lambung."
Menurut Risallina lagi, dua bulan terakhir sebelum pemergian penyanyi yang telah melahirkan sekitar 100 album solo itu, ibunya hanya boleh menjamah bubur kerana penyakitnya yang semakin parah.
Awal Ogos pula menyaksikan penyakitnya semakin kronik dan kesihatan merosot teruk.
"Tanggal 6 masih boleh beraktiviti, Maghrib badan dingin dan basah seperti disiram air karena rasa sakit ulu hati ke jantung.
"Sewaktu 7 hari bulan masih boleh berbual tapi pada tanggal 8 badan ibu sudah kaku atau mengalami dehidrasi sehingga beliau meninggal dunia pada pukul 3 pagi 25 selepas dimasukkan ke hospital pada 11 Ogos lalu," jelas Risallina.
Jenazah allahyarham yang juga mengusahakan perniagaan butik perkahwinan difahamkan disemadi di kompleks pemakaman Al Azhar di Karawang, Jawa Barat selepas solat Zuhur, semalam.
Kredit Foto: CNNIndonesia