Laman Utama
Anggap Masuk Penjara Sebagai Hadiah, Ahmad Dhani: “Hanya Yang Pernah Di Dalam Tahu Perasaannya”
Pesohor muzik Indonesia, Ahmad Dhani menyifatkan pengalaman hidup di penjara sebagai sebuah termahal yang pernah diberikan Allah SWT kepadanya.
Dhani, 50, pernah dipenjarakan selama 12 bulan di Penjara Cipinang Jakarta Timur atas kesalahan menyebarkan kebencian di platform Twitter Januari 2018 dan dibebaskan pada Disember 2019.
Sewaktu ditemui media Malaysia buat pertama kali selepas pembebasannya dan pandemik COVID 19 melanda dunia, pengasas band Dewa 19 ini berkongsi kisah kehidupannya sewaktu di penjara dan kini yang kembali aktif dalam belantika muzik.
Sambil berfalsafah, suami Mulan Jameela itu mengatakan tidak pernah menyesal atau malu apabila ditahan di penjara, sementelah sebab penangkapannya bukan kerana jenayah.
Justeru, tidak melihat ia sebagai bentuk hukuman kehidupan atau ujian, Dhani menyifatkan ia sebagai hadiah terbesar Allah buatnya.
“Saya tidak kata (dipenjara) sebagai hukuman atau ujian ya. Tapi saya lihat ini adalah hadiah terbesar Allah buat saya kerana saya yakin Dia sangat mengenali diri saya,” katanya.
Tambah Dhani: “Saya juga tidak boleh menceritakan bagaimana pengalaman dan perasaan duduk di penjara kerana hanya yang pernah masuk ke sana sahaja faham bagaimana rasanya.”
Bagi Dhani, setiap yang berlaku diambil dengan lapang dada dan dia bahagia kerana sudah berada di titik kehidupan sekarang. Apa lagi dia baru menyambut ulang tahun ke 50 pada 26 Mei lalu.
“Kalau menurut saya, hidup saya sudah lengkap ya. Masuk usia 50 tahun, kalau boleh biar dapat hidup 50 tahun lagi ya,” katanya berseloroh.
Pelantun lagu Hadapi Dengan Senyuman itu hadir ke ibu kota kerana memenuhi undangan persembahan di Garden of Eid Festival yang berlangsung hujung minggu lalu.
Dhani mengaku teruja kerana diberi kesempatan melakukan persembahan tanpa diiringi instrumen seperti gitar dan drum sehingga memberi inspirasi buatnya untuk menghasilkan karya tanpa ‘bantuan bunyian muzik’ pada masa akan datang.
“Walaupun sempat bingung, persembahan di Garden of Eid ini memberi inspirasi buat saya menghasilkan karya tanpa instrumen seperti gitar,” akuinya yang menyampaikan beberapa lagu termasuk Kuldesak dan Satu.
Sementara itu, dalam pertemuan sama Dhani turut mengumumkan peminat atau Baladewa akan dapat menyaksikan persembahan mereka di Malaysia menerusi Anniversary Tour 30 Years of Dewa 19 atau Konsert Ulang Tahun ke30 Dewa 19 yang dijadual September depan.