Anna Jobling Tiada Masa Untuk Bercinta - “Cinta Saya Hanyalah…”
Pelakon Anna Jobling memberitahu dia hanya mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada karier seninya buat masa kini kerana enggan mensia-siakan usia mudanya dengan perkara tidak penting.
Menurut Anna, masanya hanya untuk diri sendiri malah sekiranya ada masa terluang, dia lebih memilih untuk berehat sahaja di rumah.
“Saya tiada masa untuk cinta, saya masih muda. Anna hanya milik Anna sendiri saja. Jika tidak bekerja, saya menggunakan masa terluang untuk tidur kerana itu yang saya perlukan ketika ini.
“Cinta saya hanyalah katil (tidur) dan kerjaya. Jadi jika ditanya mengenai keseimbangan pada usia ini, hanya tiga perkara itu saja,” kata Anna sekali gus menepis dakwaan mempunyai hubungan istimewa dengan Meerqeen.
Mengulas mengenai perkembangan kerjaya seninya, Anna hanya mahu terus menjadi diri sendiri dan kekal membumi.
“Saya tidak pernah melihat diri saya sebagai Anna Jobling iaitu seorang selebriti. Saya hanya melihat diri saya sebagai saya saja dan bukan seorang yang popular.
“Malah, saya juga berpegang kepada sebaik dan sebagus mana pun saya, ada lagi yang lebih baik. Jadi saya rasa itu yang membuatkan saya sentiasa kekal menjadi diri sendiri.
“Saya juga menganggap rezeki masing-masing dalam apa jua perkara. Saya tidak mahu bersaing dengan sesiapa pun kerana hanya meletakkan keutamaan untuk menjadi lebih baik. Itu saja,” katanya.