Hiburan
Anting-Anting Didakwa Ada Unsur Iluminati, Ayda Jebat Enggan Layan Benda Remeh
Pelakon dan penyanyi Ayda Jebat enggan melayan dakwaan yang membabitkan dirinya dengan unsur iluminati.
Pada Ahad lalu, Ayda muncul dalam siaran langsung program Melodi di TV3 dan menggayakan anting-anting berbentuk segi tiga.
Aksesori terbabit didakwa berunsurkan iluminati dan menjadi buah mulut netizen yang tidak bertanggungjawab di laman sosial.
"Saya malas nak layan perkara remeh. Apa yang saya gayakan hanya sekadar fesyen semata-mata. Tak perlu takut dengan apa yang saya pakai kerana saya masih waras dan berpegang teguh dengan ajaran Islam.
"Janganlah takut dengan bentuk anting-anting saya, tapi takutlah dengan mata sendiri yang gemar mencari silap orang lain," kata Ayda.
Tegas Ayda, apa yang digayakan hanyalah sekadar aksesori fesyen yang tidak membawa apa-apa maksud khurafat.
"Saya ingin berpesan kepada orang luar, berhenti bercakap dan menuduh perkara yang tidak benar. Saya masih ada pegangan dan masih waras, saya tahu mana satu baik mana satu buruk.
"Saya tak akan melakukan perkara yang bertentangan dengan norma masyarakat dan sebagai seorang selebriti saya tak akan melakukan sesuatu yang buruk yang boleh mencemarkan nama saya dan keluarga," katanya lagi.