Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Anuar Zain Tentang Kembara Hidup & Rohani: “Pandemik Adalah Satu Rahmat Buat Saya”

Maliah Surip 06/12/2021 | 06:12 MYT

Kenapa Anuar Zain? Kenapa tidak? Tiada siapa penggemar muzik di Malaysia yang tidak menggemari pesona yang satu ini; senyumannya mencairkan hati, suara merdunya membuai emosi, sifat merendah diri dengan kredibiliti sang penghibur yang cukup tinggi membuatkan Anuar Zain cukup layak menjadi wajah #Gempak The Untold Story bulan ini.

Persetujuan sang legenda menjadi cover Disember 2021, sekaligus penutup tahun yang dilalui dengan penuh roller coaster dalam suasana norma baharu membuat team #Gempak Untold Story cukup teruja.
Seperti direncana, konsep street style bersama pelantun Lelaki Ini terlaksana sekitar dua minggu lalu. Cuaca pagi yang cukup bersahabat dengan kami usai hujan pagi membasah bumi menjadikan sesi fotografi yang dilaksanakan di sekitar jalanan di Petaling Street berjalan mulus.
Dengan empat helaian dari Zegna, Kit Woo, Neonate Company dan Hackett London (The Melium Group), pemenang pelbagai anugerah muzik tanah air ini dibidik penuh menarik oleh jurugambar profesional TTGFA.
Dan kepada #Gempak The Untold Story, di sebuah restoran yang makan tengahari seluruh kru pada hari itu dibayar Anuar (begitulah selalunya beliau menyantuni sesiapapun yang dikenali biar di luar waktu bekerja), adik kepada Ziana Zain ini berbagi cerita.
Penuh santun dan sangat menginspirasikan, bagaimana beliau melihat beberapa tahun yang getir dengan pandemik COVID 19 ini sebagai sebuah rahmat dalam kehidupannya.
GEMPAK: Assalamualaikum Anuar. Terima kasih kerana sudi menyambut lamaran Gempak The Untold Story untuk menjadikan anda sebagai cover terakhir di tahun 2021. Dengan kelonggaran yang diberikan kerajaan untuk hampir semua pemain industri bekerja, bagaimana jadual karier anda?
Anuar Zain: Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan saya fikir semua pemain industri hiburan dan karyawan seni juga berasa lega kerana sudah boleh kembali bekerja walaupun dalam suasana norma baharu. Tapi dapat keluar bekerja dan kembali beraktiviti pun sudah menjadi sebuah rahmat buat kita semua.
Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana aktiviti seni saya juga sudah kembali berjalan seperti biasa. Walaupun kita sedar pandemik ini mungkin masih panjang, namun setiap aktiviti atau persembahan yang saya lakukan semuanya mengikut protokol kesihatan yang telah ditetapkan. Ya, buat masa ini memang jadual saya sudah mula padat dengan jemputan persembahan korporat dan majlis yang telah dibenarkan oleh pihak berwajib.
G: Saya fikir ini adalah salah satu soalan wajib ditanya buat anda. Sekeping foto Anuar Zain menyanyi di sebuah pusat dipercayai pusat tabligh sempat tersebar sebelum ini. Mungkin ada perkara yang boleh anda kongsikan mengenai hal itu?
Anuar Zain: Ya, saya tahu (senyum). Bagaimanapun saya memilih untuk membiarkan hal privasi tidak dikongsikan. Namun, saya mahu mengucapkan jutaan terima kasih buat yang mendoakan.
G: Bagaimana anda boleh tergerak membawa diri ke pusat tabligh. Mungkin ada sesuatu yang menggerakkan anda untuk menimba lebih dalam mengenai ilmu agama?
Anuar Zain: Saya fikir biar itu saya simpan sendiri. Namun apa yang boleh dikatakan, persepsi saya terhadap pusat atau markas tabligh sudah berubah. Selain menimba ilmu, Alhamdulillah saya juga ditemukan dengan ramai sahabat baharu yang datang dari pelbagai latar belakang.
G: Apa yang paling anda rindu sepanjang pandemik, saat kehidupan kita semua perlu melalui sebuah proses baharu atau norma baharu?
Anuar Zain: Kalau sebelum kita diberi kelonggaran seperti sekarang iaitu sewaktu lockdown, hal yang paling saya rindukan adalah keluar minum kopi. Tapi sekarang Alhamdulillah, kita sudah boleh menikmati semula kehidupan walaupun dalam norma baharu. Saya sudah dapat bertemu sahabat untuk keluar minum kopi, tapi masih mengutamakan semua protokol kesihatan yang telah ditetapkan.
G: Sekiranya dunia sudah kembali pulih, ke mana ingin anda keluar melancong?
Anuar Zain: Oh ya, saya fikir sekarang oleh kerana keluar minum kopi sudah boleh, hal yang saya rindukan sebenarnya adalah keluar melancong. It’s been a while. Jika ada rezeki saya mahu kembali mengembara ke kawasan Eropah. Terakhir sebelum pandemik melanda dunia, saya sempat mengembara ke beberapa negara, jadi rasanya bersyukur kalau ada peluang untuk kembali mengembara.
G: Bagaimana boleh anda simpulkan mengenai kembara hidup seorang Anuar Zain sepanjang tahun 2021?
Anuar Zain: Sejujurnya, tahun 2021 adalah sebuah rahmat kurniaan Allah SWT buat saya. Mengajar saya agar sentiasa bersyukur dan menghargai apa yang telah kita miliki di dalam kehidupan ini. Pandemik adalah satu rahmat buat saya, terlalu banyak hikmah yang diterima atas kurniaan Allah SWT
G: Menyentuh tentang karya, apa yang boleh anda katakan jika label Anuar Zain seorang yang selektif itu membuatkan ramai komposer terutama generasi baharu takut untuk memberi material kepada anda?
Anuar Zain: Untuk mengatakan seorang Anuar Zain sangat selektif ia agak subjektif. Saya sangat terbuka untuk berkolaborasi atau menerima karya daripada generasi baharu atau dalam kalangan komposer yang tidak pernah bekerjasama. Meski demikian saya memang meletakkan kualiti dan rasa sebagai priority. Buat masa ini saya masih mencari material yang sesuai untuk menjadi karya baharu saya, Insya Allah.
G: Tanpa sedar kita akan bertemu tahun 2022 sekitar beberapa minggu dari sekarang. Apa harapan anda mengenai tahun yang kita sendiri tidak tahu adakah dunia akan terus dihantui oleh pandemik dan pada tahun tahun mendatang, berhidup dengan endemik akan menjadi normalisasi buat kita?
Anuar Zain: Untuk diri saya, secara peribadi, saya ingin bekerja lebih keras dalam kerjaya dan terus berjaya di dalam kehidupan juga. Saya juga berharap agar bagaimanapun keadaan pada masa akan datang, kita semua dapat mengharunginya dengan baik.

#The #Hijrah #Tabligh #Pandemik #“#Gempak #“Anuar #Penyanyi” #Story” #Untold #Zain”
;