Berita
“Apa Buktinya Yang Dia Penjaga Tunggal Musa Yang Sah?” - Noh Salleh
Penyanyi dan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh mendakwa bekas isterinya, Mizz Nina tidak menyatakan perkara sebenar setelah menetapkan dirinya sebagai satu-satunya penjaga yang sah ke atas anak angkat mereka, Musa.
Menurut Noh, sehingga ke hari ini, Nina gagal menunjukkan sebarang akuan berkanun atau dokumen sokongan lain yang mengesahkan dia sebagai penjaga tunggal.
“Ibu kandung Musa juga telah membenarkan saya untuk menjaganya menerusi akuan berkanun yang dia sendiri serahkan kepada saya. Kami telah buktikan dan tunjuk surat itu kepada pihak Nina.
“Dan nama saya juga dinyatakan sebagai penjaga sah Musa dalam dokumen yang saya sendiri daftarkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tanpa ditemani Nina. Jadi mana kebenaran atas dakwaan yang nama saya tidak dinyatakan dalam dokumen tersebut?
“Dan apa buktinya yang dia penjaga tunggal Musa yang sah? Mana dokumen yang menyokong dakwaan tersebut? Nampak tak macam mana dia bermain dengan semua dakwaan ini?“ katanya.
Semalam, pihak Mizz Nina bertindak memfailkan penarikan semula kes penjagaan penuh bagi anak angkatnya, Musa dan inter-parte hak penjagaan sementara.
Peguam syarie mewakili Mizz Nina, Fakhrul Azman Abu Hassan memaklumkan tiada proses sulh berlaku semalam dan hari ini pihak Mizz Nina akan kembali mengesahkan keputusan mereka di hadapan hakim.
Sebelum ini, Nina mendakwa Noh pada 19 Disember lepas telah membawa keluar Musa tanpa kebenaran dan pengetahuannya sebagai penjaga sah kanak-kanak berkenaan.
Bagaimanapun, Noh menegaskan dakwaan dia menculik Musa adalah fitnah kerana telah mendapat kebenaran ibu kandung untuk menjaga anak angkatnya itu.
Sekadar info, Noh dan Nina mendirikan rumah tangga pada Julai 2011 namun memutuskan bercerai pada Ogos 2022. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata.