Laman Utama
“Apa Yang Dilakukan Oleh Crackhouse Comedy Club, Mereka Kena Tanggung” - Afdlin Shauki
Pelakon dan pengarah Datuk Afdlin Shauki menjelaskan penutupan Crackhouse Comedy Club pada hari ini berlaku di luar bidang kuasanya.
Afdlin menjelaskan, Crackhouse Comedy Club perlu bertanggungjawab dan menerima kesan serta akibat susulan dengan apa yang telah dilakukan sebelum ini
“Apa yang dilakukan adalah di luar bidang kuasa saya. Setiap apa yang dilakukan oleh Crackhouse Comedy Club, mereka kena tanggung.
“Saya cuma nak tanya, adakah mereka sudah dijatuhkan hukum di mahkamah atau belum? Kalau mereka cakap sebab takda lesen, tutuplah kerana sebab tiada lesen.
“Cuma saya nak tahu, siapa yang jadi pemantau nilai moral (morality police) ni?” katanya kepada Gempak.
Afdlin berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Ai.5ya yang berlangsung di Sunway Pyramid sebentar tadi.
Dalam pada itu, Afdlin yang memegang posisi sebagai pengarah drama berkenaan menjelaskan, apa yang berlaku adalah hasil putar belit sesetengah pihak yang mempunyai agenda masing-masing.
“Apa yang salah memang salah dan hukuman perlu dijatuhkan jika salah.
“Bagaimanapun, apa yang berlaku ini disebabkan putar belit orang yang nak gunakan isu tersebut sebagai isu politik,” katanya.
Siri Ai.5ya turut menampilkan pelakon-pelakon hebat lain seperti Zizan Razak, Mia Sara Shauki, Ako Mustapha & Farahdhiya.
Terdahulu, pemilik kelab Crackhouse Comedy Club disenarai hitam seumur hidup daripada mendaftarkan lesen perniagaan di ibu negara susulan kontroversi persembahan komediri yang didakwa menghina agama Islam.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, Jawatankuasa Perlesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju membatalkan lesen perniagaan kelab komedi tersebut berkuat kuasa 30 Julai lalu.