Laman Utama
“Apa Yang Pemuda Itu Lakukan Bukan Budaya Rakyat Malaysia” - Dr Izhar Ariff Perjelas, Hukum Prank Haram & Berdosa
Baru-baru ini tular video 'prank' keterlaluan seorang pemuda yang membawa kek sebelum menekup wajah seorang wanita dengan manisan itu mengundang kemarahan netizen.
Wanita yang ketika itu duduk berehat bersama pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) berkerusi roda kelihatan terkejut kemudian bangun lalu menjerit ke arah pemuda terbabit.
Pemuda itu kemudian datang semula kepada wanita itu bagi memohon maaf dan menjelaskan apa dilakukannya adalah satu projek eksperimen sosial.
Menurut laporan Harian Metro, Timbalan Dekan (Jaringan) Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim menjelaskan haram hukumnya dan berdosa individu yang menganiaya insan lain dengan cara sebegitu.
"Niat yang baik untuk buat 'content' (kandungan video) sama sekali tidak boleh menghalalkan cara yang haram.
"Perbuatan memalukan dan menyakiti orang lain seperti ini adalah dilarang oleh Islam.
"Jika ditakdirkan, kakak itu (mangsa) tercedera, terbuta mata atau lain-lain yg memudaratkan, pemuda itu boleh disaman malah segala kerugian dihadapi mangsa wajib diganti rugi oleh pelaku dalam Islam," jelasnya.
Justeru, Mohd Izhar Ariff menasihati pemuda terbabit untuk berfikir panjang sebelum melakukan perbuatan berkenaan.
"Nasib baik adik (pelaku) tak kena pukul dengan orang sekeliling. Sabar ada hadnya. Jangan menguji kesabaran orang lain dengan kerja tak cerdik.
"Apa pun, apa yang pemuda itu lakukan bukan budaya rakyat Malaysia," katanya.
Sumber: Harian Metro