Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

“Apabila Saya Saksikan Adik Melafazkan Dua Kalimah Syahadah…” – Ayana Moon

Mya Amri 03/05/2019 | 11:44 MYT
Selebriti Instafamous mualaf popular di Malaysia, Ayana Moon terharu dengan adik lelaki kesayangannya yang membuat keputusan untuk memeluk agama Islam.
Menurut Ayana, dia bersyukur kerana doanya selama ini sudah pun dimakbulkan Tuhan.
“Sebenarnya saya sangat terharu dengan adik saya, sebab sebelum ini hubungan saya dengan keluarga sangat baik.
“Tetapi kadang-kadang saya rasa mereka seperti tidak menghormati agama saya kerana mereka tidak suka saya memakai tudung dan ia menimbulkan sedikit masalah.
“Bila adik saya beritahu ingin memeluk islam, saya rasa sangat bersyukur kerana akhirnya Allah memakbulkan doa saya terhadap adik saya,” katanya.
Tambah Ayana, melihat adiknya melafazkan dua kalimah syahadah membuat dia terkenang kembali kenangannya sewaktu memeluk agama Islam kira-kira lapan tahun lalu.
“Apabila saya menyaksikan adik saya melafazkan dua kalimah syahadah secara tidak langsung ia mengingatkan saya disaat ketika saya ingin memeluk Islam dahulu.
“Sekarang saya rasa lebih bertanggungjawab dan sedikit tekanan, jadi saya mula belajar dan semakin mendalami tentang Islam.
“Sekarang dia masih muda dan bersekolah jadi berhasrat untuk membawa dia ke Malaysia untuk menyambung pelajarannya selepas tamat persekolahan.
“Kerana di Korea tidak mempunyai komuniti Islam mahu pun pengajian Islam, jadi agak sukar untuk menjalani kehidupan sebagai seorang muslim di sana. Jadi kalau boleh saya mahu adik saya tinggal di negara Islam seperti saya.
“Sekarang sudah hampir bulan Ramadan, jadi saya mengajarnya tentang berpuasa dan hari raya,” jelasnya.
Untuk berita hiburan yang padat dengan informasi, jangan lupa saksikan HLive! yang bersiaran pada setiap Isnin hingga Sabtu pada jam 8.30 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).
#Instafamous #Ayana Moon
;