Laman Utama

Artis Indie Terbaik Asia Tenggara Berkampung 2 Hari Di Lenggong! Ada Apa Di TAPAUfest 2022?

Amri Hassan
07/10/2022
17:46 MYT
Sponsor Banner
Artis Indie Terbaik Asia Tenggara Berkampung 2 Hari Di Lenggong! Ada Apa Di TAPAUfest 2022?
Festival Indie Asia Tenggara – TAPAUfest kini kembali dengan keunikan dan kepelbagaian tarikan. TAPAUfest 2022 kali ini menggabungkan elemen alam semula jadi dan seni di lokasi yang jauh dari kesesakan bandar namun mempunyai keindahan dan keunikan tersendiri iaitu di Lenggong, Perak.
Pada 22 dan 23 Oktober, TAPAUfest melangkaui kebiasaan sebuah festival muzik dengan mengajak kita semua bersama berkelah atau berkhemah di Resort Tasik Raban sambil menikmati persembahan barisan pemuzik indie terbaik Asia Tenggara.
Pengasas TAPAUfest, Ahmad Faris, mempunyai visi yang jelas untuk TAPAUfest kali ini.
"Salah satu sebab kami melakukannya di Lenggong, adalah kerana kami mendambakan peluang untuk meneroka Malaysia di luar bandar. Selepas satu dunia terkesan dengan wabak, orang ramai mahukan lebih daripada sekadar konsert," katanya.

12 artis TAPAUfest 2022

Dengan tema #SerumpunBerpesta, TAPAUfest menghimpunkan 12 aksi persembahan ‘PENTAS’ merentasi genre dan nuansa dari Malaysia, Indonesia dan Singapura selama dua hari anda di sana.
Hari pertama TAPAUfest 2022 menampilkan .Feast (ID), Margasatwa (MY), Abangsapau (SG), Sweetass (MY), The Pinholes (SG) dan Salammusik (MY). Hari ke-2 diteruskan dengan persembahan Kungfu Heidi (MY), The DARE (ID), The Filters (MY), Sobs (SG), The Times (MY) dan Hindia (ID).
Dengan campuran kugiran yang sudah dikenali dan nama yang baru naik dalam ruangan alternatif, TAPAUfest berbangga untuk menjadi pentas penampilan sulung untuk barisan artis Indonesia di Malaysia, iaitu Hindia, The Dare dan .Feast!
Aksi dari artis Malaysia semestinya menjanjikan kelainan baharu dengan penampilan Kungfu Heidi bersama Serbuk Cheese yang pastinya membuatkan kita terpukau dengan gabungan musikalisasi hip-hop dan hardcore.
Aksi musisi dari Singapura tidak kurang menariknya, daripada nostalgia pop-yeh-yeh The Pinholes, kepada rapper Sikh-Melayu dengan keterampilan berkain pelikat, Abangsapau, hingga ke indie pop, Sobs!
Persembahan muzik akan bermula pada pukul 5 petang, memberikan ruang dan masa untuk anda meneroka pelbagai aktiviti dan tempat menarik yang ditawarkan di Lenggong. Jadi tak perlu tergesa-gesa memasang khemah kerana ini adalah peluang anda untuk santai bersama.

Bengkel, warung, cenderamata

Dari jam 10 pagi sehingga 4 petang, jangan lepaskan peluang untuk menonton tayangan dari pembikin filem indie dan belajar dari bengkel dan sesi kongsi di ‘BENGKEL + LAYAR’, hasil kerjasama bersama Kakiseni. Inilah masanya untuk anda ‘Tapau sedikit pengetahuan!’
Selain itu, misi TAPAUfest adalah untuk memartabatkan ekonomi tempatan dengan menyajikan makanan dan minuman mengikut citarasa tempatan di 'WARUNG'.
TAPAUfest juga bekerjasama dengan Kedai Serba Serbi untuk membawakan anda kelainan dengan terdapatnya reruai untuk barangan, rilisan fizikal seperti piring hitam, kaset dan CD, selain karya seni dari artis tempatan dan banyak lagi!
Nilai sebuah festival itu bukan sekadar terletak di persembahan muzik. Ia juga tentang kenalan baru yang dibuat dan memori yang dicipta. Lenggong mempunyai keistimewaannya tersendiri sebagai tapak warisan UNESCO yang menempatkan salah satu rangka manusia purba paling lengkap di Asia Tenggara, digelar sebagai ‘Perak Man’, kira-kira 11,000 tahun lalu.
Keindahan tempat dan keunikan suasana beserta persembahan muzik yang hebat memberikan nilai lebih dari sekadar sebuah konsert, malahan bakal mengukir memori yang tidak dapat dilupakan.
Tiket Pra-Jualan sudah boleh dibeli dengan Tiket Solo Sehari berharga RM165 (1 tiket untuk Hari 1 atau Hari 2), Tiket Solo Weekend berharga RM320 (1 tiket untuk Hari 1 dan Hari 2) dan Tiket Geng Weekend berharga RM1240 (4 tiket untuk Hari 1 dan Hari 2).
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar