Berita
Astro Catat Keuntungan RM44 Juta Pada Suku Keempat 2024!
Astro Malaysia Holdings Bhd (AMH) telah berjaya merekodkan Keuntungan Selepas Cukai Dan Faedah Minoriti (PATAMI) ke RM44 juta bagi suku keempat untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari 2024.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, Astro berkata, meskipun dibelenggu keadaan makroekonomi tidak menentu, berpunca daripada ketidakstabilan matawang asing, ia telah mencatatkan hasil dapatan sebanyak RM820 juta, suku ke suku.
PATAMI Ternormal pula mencatatkan RM35juta, namun ia tidak merangkumi cukai kerugian tukaran mata wang asing bagi pajakan berkaitan transponder.
Ia berkata, aliran tunai bebas direkodkan sebanyak RM134juta, dengan 3.8x PATAMI Ternormal dan syarikat akan sentiasa berhemah dan proaktif dalam pengurusan modal walaupun dilanda pelbagai cabaran ekonomi.
Mengulas mengenai prestasi semasa, Astro berkata, jumlah pemasangan dekoder Ultra dan Ulti Box telah meningkat 22 peratus dari tahun ke tahun ke 1 juta pelanggan.
Pertumbuhan Adex pula, mencatatkan pertumbuhan 11 peratus suku ke suku kepada RM109 juta, dengan pencapaian konsisten untuk TV, radio, dan platform digital, manakala penguasaan pasaran Radex, TV Adex dan Digital Adex mencatatkan 77 peratus, 30 peratus, dan 2 peratus.
Jenama Astro Radio kekal teguh sebagai stesen nombor satu negara untuk semua bahasa dengan mencatatkan 18.2 juta pendengar di radio FM, dan digital mingguan, manakala aplikasi audio hiburan popular Malaysia, SYOK mencapai 554,000 pendengar podcast mingguan.
Astro dalam kenyataan yang sama terus komited memerangi cetak rompak, menerusi kerjasama dengan pelbagai Kementerian dan Agensi demi melindungi individu dan perniagaan yang bersandar terhadap industri hiburan dan penyiaran.
“Sebanyak 13 kes yang melibatkan individu dan perniagaan didakwa di mahkamah dengan 113 peranti penstriman haram (ISD) dirampas, serta denda yang dikenakan berjumlah RM219,000.00. Usaha dan kerjasama akan dipertingkatkan lagi untuk tahun kewangan baharu,” katanya lagi.
Dalam pada itu Astro berkata, kekuatan dolar Amerika Syarikat ketika ini memberikan kesan mendalam terhadap kos perniagaan, manakala keadaan ekonomi tempatan (yang dipengaruhi faktor geopolitik), serta sentimen pengguna lemah, termasuk kesan penyelarasan cukai perkhidmatan, memberi cabaran kepada pertumbuhan hasil.
Bagi tujuan meringankan beban, Astro berkata ia telah memperkenalkan pakej pengenalan yang lebih berpatutan bagi televisyen berbayar, dan juga Sooka pada tahun lepas, sekali gus meningkatkan nilai produk dan perkhidmatannya.