Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

Astro, Karangkraf Meterai Kerjasama

Amri Hassan 10/06/2017 | 07:30 MYT
Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) memeterai kerjasama strategik dengan Kumpulan Media Karangkraf Sdn. Bhd. (Karangkraf) bagi menghasil dan mengedarkan kandungan harta intelek (IP).
Jalinan kerjasama ini memberi fokus ke atas penggasilan keuntungan menerusi pemilikan kandungan di Malaysia dan Nusantara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Datuk Rohana Rozhan berkata, kerjasama ini merupakan peluang terbaik untuk meluaskan pasaran Melayu dan Islamik ke peringkat lebih tinggi.
"Kami amat berbangga meng­umumkan usaha sama yang dijalinkan dengan Karangkraf bagi membangunkan jenama dan seleksi kandungan IP yang hebat bersama-sama," katanya pada majlis sidang media MoU Astro-Karangkraf di Hotel Majestic, Kuala Lumpur semalam.
Tambahnya, matlamat utama Astro untuk menyasarkan penghasilan bersama kandungan harta intelek (IP) yang komprehensif.
"Misi utama kami untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan yang mempunyai latar belakang berbeza.
"Kami juga mengambil kira permintaan yang semakin meningkat terhadap kandungan vernakular yang segar dan berbeza di seluruh rantau Nusantara," tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub ber­kata, usahasama ini memboleh­kan Karangkraf memiliki ekuiti dalam penguasaan kandungan Melayu serta mempelbagaikan perniagaan baru.
“Astro merupakan rakan strategik paling tepat untuk memperluaskan kandungan harta intelek di platform seperti televisyen, over the top (OTT) dan ruang digital di Malaysia dan negara lain.
"Kumpulan Media Karangkraf amat teruja untuk menjalinkan kerjasama yang lebih rapat dengan Astro,” katanya.
Hadir sama adalah Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Karangkraf, Syamil Famim Mohamed Fahim.
Hari ini, Astro telah menguasai sebanyak 71 peratus daripada keseluruhan isi rumah di Malaysia, merangkumi 21 juta individu di semua platform paparan, di rumah, secara langsung, aplikasi mudah alih atau di On Demand.
Manakala, Karangkraf pula memiliki 15 juta pembaca merentasi penerbitan bercetak dan aset digital mereka.
Teks oleh: Amri Hassan
#Astro #Karangkraf #MoU
;