Laman Utama
Asyik Berkolaborasi Dengan Artis Berpangkat Datuk Saja, Luca Sickta & Kmy Kmo Akui Tidak Memilih - “Bukan Bermaksud Kami Nak Datuk Saja, Tapi...”
Duo hip-hop Luca Sickta dan Kmy Kmo memang cukup dikenali dalam kalangan penggemar muzik tempatan, lebih-lebih lagi selepas lagu 7 Nasihat nyanyian mereka bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza lolos ke Anugerah Juara Lagu Ke-35 baru-baru ini.
Tidak hanya bersama Siti, menerusi katalog lagu-lagu yang pernah diterbitkan, Luca dan Kmy juga pernah merakam single bersama Datuk M. Nasir pada 2019 menerusi lagu Zuhud dan terbaharu bersama Datuk Jamal Abdillah menerusi lagu Neraca.
Menerusi corak kolaborasi yang ditunjukkan oleh mereka, mungkin ramai berpendapat bahawa Luca dan Kmy hanya mahu bekerjasama dengan penyanyi yang berpangkat Datuk sahaja.
Namun, bagi mereka, ia hanyalah satu rangkaian wishlist dan terbuka untuk berkolaborasi dengan sesiapa sahaja.
“Ramai yang berpendapat sedemikian, tetapi ia lebih kepada wishlist semata-mata. Kami terbuka untuk berkolaborasi dengan sesiapa.
“Untuk musim ini, kami akan tutup dengan sebuah lagu baharu yang turut menampilkan seorang artis popular.
“Sama ada bergelar Datuk atau tidak, sama-sama kena tunggu. Tetapi lagu baharu itu nanti masih mengekalkan irama Nusantara dengan lirik bahasa Melayu,” ujar Luca ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Dua Puluh di ibu kota baru-baru ini.
Ditanya pula mengenai lagu mereka bersama Jamal Abdillah yang berjaya mara ke pusingan separuh akhir Muzik Muzik Ke-36, Lucka berkata, mereka tidak menjangkakan lagu tersebut terpilih untuk ke peringkat yang lebih tinggi.
“Jujurnya, kita tak jangka kerana sewaktu menerbitkan lagu Neraca, kita tidak all out seperti dengan lagu 7 Nasihat. Jadi, memang tak sangka bila lagu tersebut mara ke peringkat separuh akhir.
“Tambahan pula persaingan sangat kuat. Boleh diibaratkan lagu-lagu lain itu seperti peninju Muhammad Ali dan Mike Tyson manakala kami ni kecil sahaja. Tapi insya-Allah, dengan adanya Datuk Jamal, kami akan cuba sehabis baik untuk lagu Neraca ini,” katanya lagi.
Mengulas mengenai lagu Dua Puluh, Kmy berkata, ia merupakan lagu yang dicipta hasil kolaborasi dengan jenama pakaian jalanan popular, Playaz.
“Ia sebuah lagu yang mengisahkan tentang ujian, usaha dan pencapaian masing-masing. Contohnya usaha saya sendiri dari kampung ke bandar dan seterusnya ke peringkat antarabangsa.
“Lagu ini saya sifatkan sebagai lagu yang bertenaga dan mempunyai aura tersendiri, tambahan pula dengan kehadiran rakan-rakan artis lain yang mempunyai karakter berbeza,” katanya.
Lagu Dua Puluh menampilkan gabungan lapan bakat muda dalam genre hip-hop tempatan iaitu Kmy Kmo, Luca Sickta, Yonnyboii, Ical Mosh, Benzooloo, B-Hesrt, Sigma dan juga Juki.
Peminat boleh mendengarkan lagu ini di semua platform digital bermula 3 Disember lalu.