Berita
Atilia Pernah Tak Nak Bersukan Sebab Risau Berat Badan Turun
Penyanyi Atilia Haron mengakui dirinya bukanlah seorang yang gemar melakukan aktiviti sukan lebih-lebih lagi sewaktu zaman remajanya di sekolah.
Ini kerana, menurut Atilia, dia pernah berasa bimbang akan mengalami penurunan berat badan sekiranya aktif bersukan.
"Sayalah insan yang paling malas bersukan di sekolah. Saya hanya berlari pecut sahaja kerana aktiviti itu boleh diselesaikan dengan cepat.
"Saya pernah ada asma yang teruk, selalu mengantuk dan keletihan. Saya tidak mahu melakukan sebarang sukan kerana bimbang berat badan turun.
"Saya seorang yang susah untuk naik berat badan (ya, itu satu masalah)," katanya menerusi satu entri di Instagram.
Menurut Atilia, masalah berat badan kurang itu juga membuatkan dia tidak pernah dibenarkan melakukan proses derma darah.
"Saya tak boleh derma darah sebab berat badan saya rendah sangat," ceritanya.
Begitupun, menurut Atilia, dia kemudian mula menukar gaya hidup dengan melakukan aktiviti senaman yoga selepas berdepan dengan satu insiden yang mencemaskan.
"Pada satu malam, saya perlu menyanyi dan saya tidak boleh bernafas, saya sangka saya nak mati. Ketika itu usia 30 tahun.
"Saya kemudian mencuba yoga. Pada hari ini, selepas 16 tahun, saya rasakan inilah satu keputusan yang terbaik saya pernah buat," katanya.
Dalam entri tersebut Atilia turut berkongsi foto dirinya yang mampu berada dalam posisi yang cukup fleksibel.
"Saya benci ketika menyertai kelas yoga buat pertama kali, saya muntah dan badan saya kejang. Apapun, saya bangga, hari ini saya masih mampu untuk terus lakukannya," katanya.
Sebelum ini, Atilia turut mencuri tumpan ramai apabila melakukan yoga ketika membeli-belah di sebuah pasar raya.
Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!