Berita

ATM Sahkan Insiden Kekecohan Libatkan Warga Palestin Di WTKL

Awani
05/01/2025
08:25 MYT
Sponsor Banner
ATM Sahkan Insiden Kekecohan Libatkan Warga Palestin Di WTKL
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan berlaku satu insiden kekecohan melibatkan warga Palestin di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) pada jam 5 petang, pada Sabtu.
Dalam satu kenyataan, menurut Markas ATM Bahagian Risikan Dan Komunikasi Strategik Pertahanan, kekecohan dipercayai berpunca daripada keinginan warga Palestin yang mahukan proses permohonan mereka untuk kembali ke Palestin dipercepatkan.

"Akibat daripada insiden tersebut, pegawai dan anggota ATM yang bertugas telah bertindak untuk berbincang bersama dengan warga Palestin yang terlibat.

BERITA BERKAITAN: ATM Siasat Dakwaan Pegawai UPNM Ditekap Seterika Oleh Senior - "Tindakan Disiplin Keras Atau Undang-Undang Akan Dikenakan"

BERITA BERKAITAN: Pegawai Kadet UPNM Ditekap Seterika: ATM Sahkan Kes Sedang Dalam Siasatan

"Situasi berkenaan dapat dikawal dengan baik tanpa melibatkan sebarang pergaduhan dan kecederaan, hanya berlaku sedikit kerosakan terhadap peralatan perabot di WTKL," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Mengulas lanjut, ATM berkata, warga Palestin telah bersurai kira-kira jam 7.30 petang. Sehubungan itu, ATM menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan insiden tersebut.
Pada Sabtu, tular dua buah video di media sosial memaparkan warga Palestin yang dilihat bertindak merosakkan dan membakar peralatan perabot di WTKL.
Terdapat juga warga Palestin yang memegang kertas tertulis 'No to deportion, we need to return to Egpyt'.
Insiden itu menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat yang kecewa dengan kekecohan yang berlaku dan berharap warga Palestin dapat dihantar pulang ke negara mereka.
Sebelum ini pada Oktober tahun lalu, rakaman video wanita warga Palestin membuat kecoh dan merosakkan harta awam di WTKL tular di media sosial sebelum kemudian tampil membuat permohonan maaf.
Individu itu adalah sebahagian daripada 127 orang awam Palestin yang cedera dan tiba di Malaysia pada 16 Ogos tahun lalu untuk menerima rawatan perubatan di sini berikutan serangan Israel ke atas Gaza.
Pada 4 Ogos tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Perhimpunan Solidariti Palestin di Bukit Jalil, mengumumkan bahawa Malaysia merancang untuk menerima orang awam Palestin yang cedera bagi membolehkan mereka menerima rawatan di Malaysia.
Pada 16 Ogos, dua pesawat Airbus A-400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerbangkan 127 orang awam Palestin yang cedera dari Mesir ke Pangkalan Udara Subang TUDM.
Sumber: AWANI
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024