Laman Utama
Atu Harap Dapat Beli Caravan Untuk Pengurusan Jenazah Lebih Sistematik
Pelawak Atu mengakui mempunyai niat untuk membeli 'caravan' bagi tujuan pengurusan jenazah yang lebih sistematik.
Atu berkata tujuan untuk membeli ‘caravan’ yang lebih besar adalah untuk mengurangkan kos penyelenggaraan van yang digunakan sekarang.
"Saya pernah tengok 'caravan' digunakan bapa mentua Ajak Shiro di Kluang, Johor. Ia dilengkapi kemudahan memandikan jenazah termasuk sistem paip yang baik.
“Lagipun saya rasa 'caravan' sesuai digunakan kerana saiz rumah di perkampungan saya dan sekitarnya kecil selain surau dan masjid jauh dari kawasan penempatan.
"Saya fikir 'caravan' yang dilengkapi pelbagai kemudahan dan peralatan dapat mengatasi masalah pengurusan jenazah. Mana tahu, andai impian membeli kenderaan itu dipermudahkan, kami boleh luaskan perkhidmatan di luar daerah Kudat," katanya.
Atu berkata, dia turut menghantar anak muda menjalani kursus pengurusan jenazah.
"Kursus pengurusan jenazah di bandar besar lebih terkini dan lengkap. Ini dapat menarik perhatian anak muda yang cenderung melakukan aktiviti tidak sihat.
"Daripada melepak atau berseronok, mereka boleh dibimbing ke jalan betul. Terbaharu, saya dimaklumkan ada kanak-kanak berusia 12 tahun turut serta dalam kegiatan kumpulan kami," katanya.
Selain itu kata Atu, pihaknya juga menguruskan pelbagai perkara membabitkan tuntutan waris di hospital.
"Satu lagi masalah ialah isu dokumentasi. Ada kes si mati tak ada MyKad, jadi waris susah nak tuntut khairat kematian," katanya.
Atu bersyukur kelengkapan seperti kain kapan dan kit jenazah mencukupi hasil sumbangan beberapa individu.
"Setiap tahun, saya peruntukkan sebahagian daripada rezeki yang diperoleh untuk kerja murni ini. Namun, kita berusaha sehabis mampu dan Insya-Allah, ada jalannya," katanya.
Dalam pada itu isteri Atu, Shafeeqa Johari menjual kek lapis dan RM5 diambil daripada hasil jualan setiap kotak untuk membiayai khidmat pengurusan jenazah di Kudat.