Laman Utama
Atu Perlu Bantuan Fabrik Jahit PPE - "Tak Ada 'Job' Sekarang, Tapi Allah Bagi 'Job' Bantu Orang Lain Dulu"
Pelawak dan pelakon Atu memerlukan material menjahit Sut Peralatan Perlindungan Diri (PPE) untuk dihantar ke Sabah.
Atu berkata, buat masa ini semua berjalan lancar cuma bekalan fabrik untuk menghasilkan PPE semakin berkurangan.
“Saya tidak perlukan bantuan dalam bentuk kewangan, tetapi saya amat memerlukan fabrik untuk menghasilkan PPE buat masa ini.
“Di kesempatan ini saya ingin berterima kasih kepada One Nation Centre, Datuk Fizz Fairuz, Datin Almy Nadia, Stacy yang telah memberikan sumbangan.
“Tak lupa juga kepada 20 orang tukang jahit sukarelawan kami yang bertungkus lumus menyiapkan PPE untuk dihantar kepada petugas barisan hadapan di Sabah yang sangat-sangat memerlukan ketika ini.
“Oh ya, Persatuan Pengakap Kudat dan yang lain-lain juga yang telah membantu kami, terima kasih…Tidak terbalas jasa kalian,” katanya.
Atu ketika dihubungi Gempak semalam (Isnin), baru sahaja selesai menghantar PPE di kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang.
“Ya, saya hantar ke Subang dahulu dan mereka (TUDM) akan uruskan penghantaran ke Sabah. Alhamdulillah saya tidak sangka urusan dipermudahkan.
“Pada mulanya saya takut-takut juga nak berurusan dengan TUDM, tetapi rupanya tidak seperti yang saya sangka. Ternyata frontliners kita semuanya baik-baik dan sangat membantu.
“Insya-Allah, doakan trip kedua kami nanti...Saya sangat berharap agar ada pihak sudi menyalurkan bantuan fabrik kepada kami.
“Jika ada yang ingin berbuat demikian bolehlah hubungi kami terus,” katanya.
Ditanya mengenai perkembangan dirinya sekarang, Atu berkata dia kini sedang dalam fasa berehat memandangkan banyak tawaran pekerjaan dibatalkan kerana pandemik Covid-19.
“Tidak apalah, saya percaya pada rezeki Allah SWT. Semua orang pun terkesan apabila job mereka dikansel dan ditunda…sama macam saya.
“Buat masa ini saya berehat dahulu dan sekurang-kurangnya boleh fokus pada projek PPE dan kedai kek saya di Setia Alam.
"Alhamdulillah, tak ada job sekarang tetapi Allah SWT bagi saya job untuk bantu orang lain dahulu,” katanya positif.