Hiburan
Aubrey Suwito Sambut Ulang Tahun 30 Bersama Dayang, Jaclyn, Faizal Tahir
Komposer Aubrey Suwito bakal menyambut ulang tahun ke-30 dalam konsert Aubrey Suwito & Friends with the MPO - A Celebration of 30 Years in Music, yang bakal berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 19 dan 20 Mei ini.
Konsert ini akan menampilkan penyanyi-penyanyi seperi Dayang Nurfaizah, Sean Ghazi, Faizal Tahir dan Jaclyn Victor, serta dipimpin oleh graduan Berklee College of Music iaitu Ahmad Muriz Che Rose.
Konsert yang akan bermula pada jam 8.30 malam itu bakal menyaksikan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) mempersembahkan lagu-lagu ciptaan Aubrey.
Antara lagu-lagu yang akan dimainkan seperti Sedingin Mana Cintamu, Layarlah Kembali, Malacca Sun, Counting Days, Gemuruh dan Menatap Dalam Mimpi.
Konsert ini juga akan menyerlahkan bakat gubahannya untuk lagu-lagu klasik seperti Hujan, Bohemian Rhapsody dan Tanah Pusaka, kesemuanya digubah dalam bentuk simfoni.
Aubrey memulakan kariernya dengan mencipta lagu untuk iklan TV dan radio sebelum bekerjasama dengan penyanyi legenda Sudirman Haji Arshad.
Karier Aubrey mula memuncak tatkala menerbitkan album sulung Casey berjudul Seribu Impian pada tahun 1994.
Pemuzik ini juga menjadi pengarah muzik untuk konsert, program realiti TV dan album, dan memenangi anugerah, antaranya di Anugerah Juara Lagu untuk lagu nyanyian Jaclyn Victor, Gemilang, pada tahun 2006.
Aubrey telah menerbitkan lima album solo dan merupakan salah seorang pemuzik untuk konsert jelajah Asia bagi David Foster di mana beliau pernah mengiringi persembahan artis-artis antarabangsa seperti Richard Marx, Babyface, Chaka Khan dan mendiang Natalie Cole.
Tiket dijual dengan harga bermula RM210, RM270 dan RM380. Ia boleh didapati dengan tempahan menerusi talian 03-23317007 atau emel boxoffice@dfp.com.my.
Teks oleh: Syafiqah Jalal