Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Awal Ashaari Didakwa Lakukan Khianat Rosakkan Palang Pagar

Gempak 17/05/2022 | 07:50 MYT

Pengacara popular, Awal Ashaari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur pada Selasa terhadap pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan perumahan.

Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Mengikut pertuduhan, Awal melakukan perbuatan itu di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara, dengan nilai kerugian dianggarkan RM600 pada 11.30 pagi, 16 April lalu.
Awal didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun atau tidak lebih daripada lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Wafi Husain menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam bela, Datuk M Reza Hassan dibantu peguam Hamizah Sobree yang mewakili Awal memohon pengurangan jaminan kepada RM3,000 dengan alasan anak guamnya ada pendapatan sebagai pengacara yang tidak konsisten, menyara isteri dan dua anak serta menanggung ibu bapanya yang sudah berusia.
Zhafran bagaimanapun membenarkan jaminan RM2,000 dan menetapkan 15 Julai untuk sebutan semula kes.
Sumber: Harian Metro

#Viral #Awal Ashaari #Pengacara #Mahkamah #Khianat #Pagar
;