Laman Utama
Awie Tak Sangka Konsert ‘Live Streaming’ Wings Ditonton Lebih 3,500 Peminat!
Fiza Kamarudin
04/09/2020
|
14:13 MYT
Vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie tidak menyangka Konsert MARii Wings yang diadakan secara maya (live streaming) ditonton lebih 3,500 peminat di 10 buah negara antaranya United Kingdom, Switzerland, Australia, New Zealand, Taiwan, Singapura, Brunei, Hong Kong termasuk Malaysia.
Konsert yang berlangsung di Dewan Wawasan Convention & Exhibition Centre, Jalan Pudu Ulu, Cheras, Kuala Lumpur, turut dihadiri hampir 300 penonton.
“Ini adalah hari bersejarah buat kami kerana dapat beraksi dalam sebuah konsert maya 'Live Streaming' secara besar-besaran dan ditonton oleh peminat di seluruh dunia.
"Ia juga satu pencapaian baru dan sangat bermakna buat kami. Ini satu langkah yang baik dan perlu dijalankan terus untuk artis-artis lain pula,” katanya.
Tambah Awie lagi, pada awalnya Wings tidak yakin konsert ‘norma baharu’ tersebut dapat dijayakan dengan baik sekali.
“Wings terkejut bila penganjur datang melamar kami dan persiapan pun dalam tempoh sebulan setengah saja.
“Terdetik di hati saya, mampukah Wings buat projek besar macam ni. Tapi pengajur yang yakinkan kami. Terima kasih kerana bari kepercayaan kepada Wings,” katanya.
Konsert MARii Wings yang berlangsung pada 29 Ogos lalu itu diadakan untuk meraikan kemerdekaan negara, selain menyambut ulang tahun ke-35 Wings di persada seni tanah air.
Persembahan pada malam itu dianggotai Awie, Eddie, Black serta dua pemain gitar undangan iaitu Edrie Hashim dan Syam.
Antara lagu-lagu dipersembahkan ialah Puisi Merdeka, Sejati, Bujang Senang, Jerangkung Dalam Almari, Dalam Kehadiran Sofea, Kau Bukan Brader, Mabuk 7 Lautan, Crazy Night, Pengabdian Kekasih, Romania, Ingatkan Dia dan Sekeping Kertas Bermaruah.
Sebelum itu, penyanyi Yonnyboii dan Zynakal membuka pentas dengan lagu Aku Itu Aku, Terbang serta berduet dalam Cemburu dan Sakit.