Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Ayah Kasih Sayang Tak Dijangka” - Kendong Anak Atas Motor, Beraya Dari Batu Gajah Ke KL Buat Netizen Sayu!

Hanafis Haris 10/05/2022 | 00:22 MYT

Satu perkongsian daripada laman Facebook milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengundang sebak netizen sejak kelmarin.

Semuanya gara-gara tindakan seorang bapa mengendong anak dengan ikatan kain pelikat ketika menunggang motor di laluan Lebuh Raya Utara Selatan

Menurut posting berkenaan, kehadiran dua beranak itu disedari apabila polis membuat rondaan sekitar jam 4.00 petang di KM 435.1 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan).

“Semasa penugasan dijalankan pihak polis telah ternampak seorang penunggang motosikal dalam keadaan mengendong anak dengan ikatan kain pelikat di tubuh badan kanak-kanak tersebut.

“Melihat situasi tersebut, mereka telah berhenti dan bertanyakan apa yang boleh dibantu dan semakan mendapati kanak-kanak lelaki yang dikendong itu adalah anak kandungnya berumur 9 tahun.

“Mereka ini dalam perjalanan ke Kuala Lumpur selepas pulang beraya di Batu Gajah, Perak,” kata pengendali akaun tersebut.

Menurut pihak polis lagi, peronda Rawang/Latar menjelaskan tindakan yang dilakukan oleh si bapa boleh mendatangkan risiko bahaya dan atas faktor keselamatan.

“Mereka kemudian menghubungi Pegawai Turus Lebuhraya Zon Tengah A bagi membawa dan menghantar kanak-kanak lelaki tersebut sambil diiringi ayahnya ke kediaman mereka di Flat Selayang, Jalan Chow Kit 4, Kuala Lumpur.

“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman menasihatkan pengguna lebuhraya lebih peka dengan soal keselamatan dan berhati-hati semasa pemanduan di musim perayaan,” katanya.

Sementara itu, menerusi ruang komen, kebanyakan netizen tersentuh dengan pengorbanan lelaki berkenaan yang sanggup membawa anaknya pulang beraya.

Malah, rata-rata mereka memuji tindakan murni pegawai polis yang sanggup menumpangkan kanak-kanak itu hingga ke Kuala Lumpur.

“Inilah insan yang bernama Ayah, kasih sayangnya tidak dapat dijangka. Berbahagialah hendaknya kepada insan ini”.

“Dalam tegas ada lembutnya, terima kasih abang polis”.

“Mesti anak teringin nak beraya ke kampung, itu yang sangup naik motor,” tulis beberapa netizen.

Anda boleh lihat posting berkenaan di bawah.

#Ayah Kendong Anak #Balik Raya Naik Motor #Polis Bantu
;