Laman Utama

Ayam Mahal? Makanlah Itik Dulu? Menteri Nafi Pernah Keluarkan Kenyataan Tersebut! Rupa-Rupanya...

Hanafis Haris
25/11/2021
08:00 MYT
Sponsor Banner
Ayam Mahal? Makanlah Itik Dulu? Menteri Nafi Pernah Keluarkan Kenyataan Tersebut! Rupa-Rupanya...

Kecoh di media sosial apabila ramai mendakwa Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengeluarkan kenyataan yang tidak menyenangkan.

Menerusi beberapa keping gambar yang tular, Alexander dikatakan pernah menggesa pengguna di negara ini untuk memakan itik sementara kerajaan mengkaji kenaikan harga ayam.

Walau bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan sekerang-kerasnya oleh menteri berkenaan.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan seperti di dalam gambar yang ditularkan.

“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti ini yang tidak sensitif dan seperti mempersendakan rakyat yang sedang dalam kesusahan.

“Sebagai seorang yang datang dari kawasan pedalaman di Kapit Sarawak, isu-isu seperti ini sememangnya amat dekat di hati saya dan bukanlah sesuatu yang boleh dipermainkan.

“Saya dan semua warga KPDNHEP amat mengambil serius isu-isu kenaikan harga barangan yang menekan rakyat,” katanya.

Jelasnya, sebagai menteri, sudah tentu dia sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian bagi isu seumpama itu.

“Tetapi, usaha-usaha ini memerlukan sedikit masa kerana melibatkan pelbagai kementerian dan agensi lain sebelum Kerajaan dapat memberikan satu penyelesaian yang memberikan manfaat kepada semua pihak yang terlibat.

“Isu kenaikan harga barangan ini sememangnya membelenggu dunia, bukan sahaja Malaysia. Ini adalah kesan daripada penularan wabak Covid-19 yang telah melumpuhkan aktiviti ekonomi sejak sekian lama.

“Saya mohon kepada semua Keluarga Malaysia, janganlah kita mengeruhkan lagi keadaan dengan menyebarkan perkara-perkara berunsur fitnah seperti ini,” katanya menerusi satu posting di Facebook rasmi, semalam.

Untuk rekod, kenaikan harga barangan keperluan terutama ayam yang melambung tinggi di negeri dikatakan berpunca daripada pembukaan lebih banyak sektor ekonomi pada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), sejak bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Dr Chong Fat Full sebelum ini berkata, faktor berkenaan disebabkan permintaan barangan makanan termasuk ayam meningkat mendadak namun bekalannya pula agak berkurangan.

Namun katanya, situasi berkenaan mungkin kesan sementara sebelum harga barangan kembali stabil apabila bekalan barangan berjaya ditingkatkan semula seiring permintaan.

Related Topics
Must-Watch Video
Unitar