Berita
“Ayden Menjerit & Meronta Setiap Kali Berpisah Dengan Aliff Aziz…”-Bella Astilah
Pelakon Bella Astilah akui tidak sanggup melihat anaknya, Ayden Adrean bersedih setiap kali berpisah dengan bekas suaminya, Aliff Aziz.
Menurut Bella, hubungan Ayden dan Aliff semakin rapat dan sukar untuk dipisahkan.
“Orang tak tahu situasi saya, lebih-lebih lagi bila melihat Ayden menangis dengan menjerit dan meronta setiap kali berpisah dengan bapanya.
“Di lapangan terbang, Ayden akan menarik tangan Aliff dan mahu bapanya ikut kami bersama pulang ke Malaysia.
“Bukan setakat itu sahaja, dia tidak akan berhenti menangis sehingga di dalam kapal terbang,” katanya kepada Gempak.
Bella ditemui di pelancaran produk Yanzi Cosmetic by Bella Astilah di POKOK KL Café.
Tambah Bella lagi, dia sebak dan rasa bersalah kerana perceraian mereka menyebabkan Ayden terpaksa dipisahkan dengan bapanya.
“Sebagai ibu saya sebak melihat keadaan itu kerana mereka sudah rapat dan hampir setiap hari Aliff akan hubungi Ayden.
“Ayden hanya anak kecil dan belum memahami apa-apa.
“Tak akan saya mahu menghasutnya untuk membenci bapanya sendiri,” katanya lagi.
Justeru, Bella memberitahu dia kini terbuka untuk menerima Aliff kembali.
“Hubungan kami baik dan tiada masalah. Cuma mengenai status hubungan kami, saya simpan dahulu dulu atas permintaan keluarga.
“Tapi, apabila sudah tiba masanya, kami akan kongsikan,”jelasnya.
Umum mengetahui mahligai yang dibina Bella dan Aliff selama tiga tahun itu berkecai apabila suaminya itu didakwa kerap berlaku curang bersama wanita lain.
Bella memfailkan permohonan cerai secara baik terhadap Aliff pada 21 Mac lalu selepas beberapa kali tertangkap menjalin hubungan dengan wanita lain.
Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang anak, Ayden yang kini berusia dua tahun.