Laman Utama
Azzam Sham, Peluang Kedua & MK KClique Antara Pemenang EDMA 2020
Juara Big Stage 2020, Azzam Sham antara yang mengungguli ERA Digital Muzik Awards (EDMA) 2020 yang berlangsung secara atas talian pada Rabu.
Azzam telah dinobatkan sebagai pemenang kategori Artis Baru Baek selain kelab peminatnya, Azzam Troopers memenangi Fan Club Paling Ngam.
Malam kemuncak EDMA 2020 turut menyaksikan lagu popular Peluang Kedua nyanyian Nabila Razali dan MK KClique diangkat sebagai Lagu Viral Onz.
Manakala, lagu Sembah (Naim Daniel & Man Kidal) memenangi kategori Lagu Featuring Hit.
MK KClique juga turut menjuarai kategori Artis Norma Baharu dengan menumpaskan Naim Daniel, Syamel, Alif Satar dan Asyraf Nasir.
Kategori Influencer PKP ERA pula dimenangi oleh Soloz mengalahkan Azfar Heri, Sir Fathi, Sofyank dan Durian Kimchi.
Dihoskan oleh Danial, Radin (dari segmen ERA D’Boyz) dan Isha (dari segmen Gempak Hit ERA), pentas digital EDMA 2020 telah dihangatkan dengan persembahan mantap dan bertenaga daripada penyanyi-penyanyi terhebat tanah air seperti Shiha Zikir, Neeta Manishaa, Harith Zazman, Loca B dan Tuju.
Selain itu, EDMA 2020 turut dihiburkan dengan persembahan daripada Yonny Boi, Asyraf Nasir, dan Azzam Sham.
Undian EDMA 2020 telah dibuka kepada para peminat pada 28 Disember hingga 18 Januari, menerusi laman rasmi ERA dan peminat telah diberi seratus peratus kuasa untuk memilih pemenang pada setiap kategori yang dipertandingkan.
EDMA 2020 telah distrim secara langsung menerusi YouTube, Facebook Live, dan Instagram ERA, juga dapat disaksikan menerusi Facebook Live Astro Gempak.