Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Baby Shima Failkan Saman, Ini Respons PU Syed - “Adakah Ini Satu Musibah Atau Anugerah Yang Allah…”

Asyikin Mayudin 13/07/2023 | 02:55 MYT

Penyanyi Baby Shima bertindak memfailkan saman terhadap pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Syed dan Ketua Pemuda Pas Kuantan, Abd Rahman Mat Noor.

Susulan tindakan tersebut, PU Syed menerusi laman Instagram miliknya menganggap ia satu ujian daripada Allah untuk dirinya yang dalam mencegah kemungkaran berleluasa di kalangan masyarakat kini.

“Ambe (saya) pun baru tahu, daripada wartawan yang call tentang satu saman yang dinamakan terhadap ambe oleh seorang artis. Bila ambe google… ini hasilnya.

“Adakah ini satu musibah atau anugerah yang Allah hantar memberi ujian seterusnya kepada ambe dalam mencegah kemungkaran yang berleluasa di kalangan masyarakat di bumi Malaysia tercinta ini.

“Para anbiya dan salafuna soleh, ada yang mati dibunuh kerana mencegah kemungkaran dan menyatakan yang hak! Kita diakhir zaman ini, secebis dari itu pun masih belum menyamai perjuangan mereka,” katanya.

Terdahulu, peguam yang mewakili Baby Shima, Muhammad Noor Azfar Noor Azmi berkata, pihaknya telah memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap kedua-dua individu terbabit masing-masing di Mahkamah Tinggi Ipoh serta Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Katanya, ia difailkan di atas kausa tindakan saman fitnah (defamation) dan kepalsuan berniat jahat (malicious falsehood).

“Setakat tarikh kenyataan ini, proses penyerahan kertas-kertas kausa kepada individu-individu yang dinamakan di atas sedang dilaksanakan bagi maksud memenuhi keperluan undang-undang," katanya dalam kenyataan.

Tambah Noor Azfar, Baby Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli tidak berhasrat untuk memberi komen lebih lanjut buat masa ini sebagai menghormati proses mahkamah serta pihak yang dinamakan belum menerima kertas-kertas kausa yang difailkan.

“Pihak kami juga telah menerima arahan untuk mengambil tindakan dalam masa terdekat ini terhadap beberapa individu dan syarikat lain yang telah terlibat dalam menyalahgunakan nama anak guam kami bagi tujuan komersial.

“Anak guam kami merizabkan haknya untuk meneruskan apa-apa tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat mengikut lunas undang-undang negara,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Sebab Tiada Title PU, Saya Tak Boleh Suarakan Pendapat?” Dituduh Beri Pandangan Songsang Tentang Konsert, Baby Shima Balas Kenyataan PU Syed

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Baby Shima Kecewa Dikecam Selepas Tampil Dengan Imej Sopan - “Ramai Claim Pakai Tudung Sebab Kena Maki”

Untuk info, Baby Shima dituduh ‘menjual agama’ selepas namanya diumumkan sebagai artis undangan program Hari Bandaraya Mesra Komuniti di Kuantan, Pahang yang kebetulan berlangsung pada hari sambutan Israk dan Mikraj.

Abd Rahman mendakwa penyanyi dan pelakon terbabit ‘menjual agama’ kerana hanya mengenakan tudung mengikut majlis tertentu.

Manakala PU Syed pula didakwa memfitnah Baby Shima dengan menuduh artis berkenaan tidak mengerti soal halal dan haram berhubung penganjuran sebuah konsert, serta boleh terjerumus menjadi golongan Ruwaibidhah.

#Baby Shima #Shima #PU Syed #Syed
;