Hiburan
Bagai Mati Hidup Semula, Suami Syukur Dijaga Kiah Propa - "Dia Sanggup Terima Dalam Keadaan Saya Tidak Sempurna"
Pernah berputus harap kerana pujukan untuk kembali semula ditolak berkali- kali, suami kepada pelakon Kiah Propa, Mohamad Nazri Ismail menganggap dirinya umpama 'mati hidup semula' apabila isterinya sudi kembali selepas lapan tahun berpisah.
BERITA BERKAITAN: “Permintaan Dia Sebelum Menutup Mata…” - Kiah Propa Kembali Berkahwin, Mahu Jaga Bekas Suami Sakit Kanser Leher
BERITA BERKAITAN: Nek Kiah Meninggal Dunia, Teringin Nak Makan Murtabak Daging Antara Permintaan Terakhir
Menurut Nazri, dia langsung tidak menyangka isterinya itu terbuka hati menerimanya disaat dirinya kini sedang sakit bertarung kanser tahap empat.
"Saya mengaku pernah satu masa sudah putus asa nak pujuk isteri. Banyak kali saya pujuk sampai makcik-makcik cakap jangan tinggal doa.
"Jadi yang buat saya tersentuh, apabila dia sanggup dan ikhlas terima saya dalam keaadaan saya tidak sempurna.
"Waktu itu saya rasa bertuah. Bersyukur sangat. Tuhan sahaja yang dapat balas jasa isteri," ujarnya.
Nazri berkata demikian ketika ditemui Gempak di Institut Kanser Negara (IKN) Putrajaya baru-baru ini disebabkan mengalami nanah dibahagian leher hingga menyebabkannya sukar makan.
Sementara itu, Kiah Propa memberitahu bahawa doktor memaklumkan kanser yang menyerang suaminya sudah merebak di beberapa anggota tubuh badan.
Kata Kiah, tiada apa yang mampu dilakukan selain memanjatkan doa kepada ilahi supaya dirinya kuat dan sakit suaminya itu sembuh.
Terdahulu, Kiah kembali bergelar isteri kepada Nazri para 18 November lalu.
Kiah berkata, dia terbuka untuk kembali bertaut kasih bersama bekas suami dengan niat untuk menjaganya yang sedang berjuang melawan penyakit kanser.
Kiah juga mendedahkan dia tidak menerima sebarang duit hantaran ketika melangsungkan perkahwinan keduanya bersama Nazri.