Berita
Bagi Kawal Populasi, Profesor Ini Cadang Makan Burung Merpati
Umum mengetahui yang kehadiran burung merpati dalam jumlah yang banyak mampu memberikan rasa kurang selesa dalam kalangan orang ramai.
Selain bergerak dalam satu ‘kumpulan’ yang besar, burung merpati juga selalunya meninggalkan bau yang kurang menyenangkan, berpunca daripada sisa lebihan makanan dan juga sisa najis yang ditinggalkan.
Solusi
Seorang profesor tempatan baru-baru ini memberikan solusi berani terhadap masalah lebihan populasi merpati di Pulau Pinang, dengan mencadangkan kepada masyarakat supaya spesies burung itu dijadikan bahan makanan.
Memetik Kwong Wah Yit Poh dalam wawancara mereka, profesor Huang Hong Zhen mengatakan, di Pulau Penang saja, sejumlah 6,000 merpati telah ditangkap dan kemudian dibunuh pada tahun lalu.
Namun, Hong Zhen berpendapat bahawa pembunuhan merpati adalah tindakan sia-sia dan menyarankan masyarakat Malaysia untuk menjadikan burung tersebut sebagai hidangan.
Ibarat ayam
“Burung merpati ibarat ayam yang kita makan setiap hari sebab keduanya berasal dari baka yang sama.
“Disebabkan itu, jika semua orang selesa makan merpati, mungkin ia boleh membantu mengurangkan populasinya yang semakin meningkat.
“Burung merpati juga tidak seperti burung gagak - kerana spesis ini hanya memakan bijirin dan beras. Walaupun mereka mencari makanan di tong sampah, mereka hanya akan memilih makanan yang mereka suka,” jelasnya.
Hong Zhen, yang mengkaji burung sejak 40 tahun lalu turut memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa merpati pada umumnya adalah burung yang ‘bersih’ dan menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MPPP) untuk menawarkan burung merpati yang ditangkap untuk kegunaan awam.
Dia juga menyeru orang ramai supaya berhenti memberi makan merpati di tempat awam kerana ia hanya akan menggalakkan burung-burung itu berkumpul dan membiak lebih banyak lagi.
Sumber: Weirdkaya menerusi Kwong Wah Yit Poh
Sumber foto: UtusanTV