Berita
Bahasa Malaysia Sudah Hancur, Buku Puisi Masih Dapat Sambutan - Sani Sudin
Penyanyi kumpulan Kopratasa, Sani Sudin mengakui sambutan dan permintaan terhadap buku puisi masih ada terutama dalam kalangan golongan muda yang menjadikannya sebagai bahan rujukan.
Jelasnya, sambutan pembaca ini bergantung pada minat seseorang.
"Kadang-kadang ada yang tidak suka dengan novel Sasterawan Negara tapi suka karya gelandangan yang lebih bebas seperti saya," katanya kepada Astro Gempak.
Sebagai seorang penulis buku puisi, Sani pernah menempelak sikap penulis buku yang bertindak campur aduk bahasa Malaysia dengan bahasa Inggeris mahupun diterjemahkan secara langsung daripada perkataan bahasa Inggeris.
"Dalam satu acara di Alor Setar, Kedah ketika saya bagi 'talk' bersama Datuk A Samad Said, saya cakap sekarang bahasa kita hancur apabila bahasa Ingeris dibahasa Malaysiakan seperti 'transportation' kepada transportasi dan 'obligation' menjadi obligasi," katanya.
Akuinya, bahasa Inggeris yang diterjemahkan sudah digunapakai Indonesia terlebih dahulu berbanding bahasa Malaysia.
"Dari sudut budaya dan pemikiran, Indonesia lebih ke hadapan daripada kita termasuk ‘busking’ di tepi jalan," katanya.
Sani yang sering dijemput sebagai penceramah buku puisi tampil dengan buku puisi terbarunya, Matamu Rindu Yang Meminta, yang dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur sejak 27 April lalu sehingga 6 Mei ini.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: Astro Gempak