Hiburan
Baim Wong Dakwa Isteri Curang Punca Mahu Cerai: “Lelaki Itu Teman Baik Saya”
Aktor dan hos terkenal Indonesia, Baim Wong mengesahkan telah memfailkan perceraian terhadap isterinya, Paula Verhoeven, seperti maklumat yang tular di media sosial sebelum ini.
BERITA TRENDING: Hanya Bertahan 6 Tahun, Baim Wong Failkan Cerai Terhadap Paula Verhoeven
Baim yang mengadakan sidang media bersama peguamnya juga mendedahkan punca dia mahu bercerai dengan model yang telah melahirkan dua cahaya mata sepanjang perkahwinan mereka.
Menurut Baim, isteri yang dinikahi selama enam tahun itu telah curang dengan lelaki yang juga merupakan teman baiknya sendiri.
"Sebenarnya posisi saya agak sulit. Saya memang dikhianati sama dua orang terdekat saya, dari pihak perempuan dan juga lelaki.
“Yang lelaki adalah teman baik saya sendiri,” dakwa Baim seperti dilaporkan Kompas.
Sambil mengalirkan air mata, Baim mengaku sudah cuba mempertahankan rumah tangganya selama satu tahun dan memaafkan perbuatan serta kecurangan Paula demi dua anak mereka.
“Saya selama ini cuma menahan selama satu tahun kerana anak-anak saya. Saya terus terang cakap saya tidak tahu ada apa di antara mereka.
“Cuma saya tahu sudah tidak ada kejujuran lagi selama satu tahun kebelakangan ini. Saya sendiri tidak percaya dan cuba menyelamatkan (rumah tangga) tapi tidak berhasil,” katanya lagi.
Baim Wong dan Paula Verhoeven menikah pada 22 November 2018. Pasangan itu dikaruniai dua anak lelaki bernama Kiano Tiger Wong dan Kenzo Eldrago Wong.