Sukan
Bakal Berentap Dengan ‘Panda Kick’, Jojo Optimis Banggakan Negara - “Tidak Lama Lagi Kita Akan Buktikan…”
Jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali, bakal menggegarkan pentas ONE Championship pada 24 Januari depan di Impact Arena, Bangkok, Thailand.
Dalam perlawanan tersebut, Johan, 18, atau mesra disapa Jojo itu dijadualkan menentang bintang Colombia yang belum pernah tewas, Johan Estupinan.
Terbaharu, Jojo menerusi perkongsian di Instagram (IG) menyatakan bahawa Malaysia bakal membuktikan kemampuannya tidak lama lagi.
“Tidak lama lagi kita akan buktikan yang Malaysia boleh, Insya-Allah,” tulisnya.
Cabaran menanti buat Jojo kali ini apabila bakal berentap dengan Johan Estupinan, 22 yang dikenali sebagai 'Panda Kick' yang turut mencipta nama sebagai bintang muda sensasi dengan empat kemenangan berturut di pentas ONE, termasuk tiga kemenangan KO.
Untuk rekod, acara ONE 170 merupakan penampilan yang kelapan buat Johan di ONE.
Terdahulu, Jojo mendapat kemenangan ‘knockout’ (KO) selepas mengalahkan Josue Cruz pada aksi ONE 168 di Denver, Colorado, Amerika Syarikat.
Jojo membawa pulang bonus prestasi berjumlah AS$50,000 (kira-kira RM223,199) sekali gus melebarkan rekodnya di ONE kepada 6-1.
Must-Watch Video