Berita

Banduan Kes Bunuh Terima Ijazah Sarjana Dari OUM

Kamaruddin Razal
01/05/2017
14:45 MYT
Sponsor Banner
Banduan Kes Bunuh Terima Ijazah Sarjana Dari OUM
Seorang banduan yang sedang menjalani hukuman sebagai Tahanan Limpah Sultan kerana kesalahan membunuh pada 2001 meniti saat manis apabila akhirnya menerima ijazah sarjana yang diimpikannya pada Ahad lalu.
Banduan yang berusia 30 tahun dan seorang lagi banduan lain dari Penjara Kajang menerima Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan tersebut pada majlis Konvokesyen Open University Malaysia (OUM) kali ke-20 yang berlangsung di Dewan Canselor Universiti Malaya, Kuala Lumpur dengan diiringi oleh pegawai dari penjara dan Kementerian Dalam Negeri.
Katanya setelah menjalani pengajian dari penjara, inilah detik yang bersejarah buat dirinya apatah lagi saat gembira itu dapat dikongsikan bersama oleh keluarganya yang datang dari Sabah.
“Saya amat berasa gembira dengan kejayaan hari ini menerima ijazah sarjana saya. Saya harap selepas ini saya akan mampu meneruskan pelajaran saya ke peringkat lebih tinggi iaitu ke peringkat Doktor Falsafah (PhD)," katanya.
Sementara itu Pengarah Penjara Kajang, Datuk Narander Singh berkata, Jabatan Penjara akan terus memberikan sokongan dan bantuan yang diperlukan oleh banduan terbabit untuk meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya.
Malah jadual aktiviti banduan juga akan dikaji semula mengikut keperluan dan kesesuaian. Diharapkan kejayaan pendidikan dalam kalangan banduan akan meminimumkan risiko untuk banduan kembali ke penjara satu hari nanti.
“Kalau mereka terus diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam penjara, kita percaya (risiko dapat dikurangkan) dan Penjara Kajang telah membuktikan memang tipis kebarangkalian mereka untuk masuk balik ke penjara selepas keluar," kata Narander.
Sementara itu menurut Naib Presiden Akademik OUM, Profesor Dr Sha'ari Abd Hamid kos pengajian buat graduan terbabit bagi mengikuti pengajian di peringkat falsafah pula akan ditanggung oleh pihak universiti.
Sumber: Astro Awani.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar