Hiburan
Banjir Dubai: Anang, Ashanty Terkandas, Doa Dapat Segera Pulang
Ribut petir yang melanda Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Selasa membuatkan sebahagian besar bandaraya tersebut lumpuh.
Ini termasuklah lapangan terbang antarabangsa Dubai yang banjir dan operasi lumpuh sepenuhnya.
BERITA TRENDING: Banjir Dubai: Lapangan Terbang Antarabangsa 'Lumpuh' 25 Minit, 45 Penerbangan Dibatalkan
Rupa-rupanya antara yang ‘terkurung’ dalam banjir yang melanda Dubai itu adalah keluarga selebriti Anang Hermansyah dan Ashanty.
Perkara itu diketahui selepas komposer, juri dan penyanyi tersebut berkongsi perkembangan terkini mereka sekeluarga di akaun media sosial.
Menurut Anang, mereka berada di Dubai untuk bercuti selepas pulang menyambut Aidilfitri di Mekah.
Namun mereka sekeluarga terkandas Dubai selepas jalan raya dan lapangan terbang Dubai lumpuh untuk digunakan.
Meski belum lagi dapat pulang ke Indonesia, Anang memberitahu dia dan seluruh keluarga berada dalam keadaan baik.
Namun dia tetap berharap agar menerima khabar baik daripada kerajaan Dubai mengenai jadual penerbangan yang mungkin sudah boleh dibuka untuk dia serta pelancong lain yang terkandas meneruskan perjalanan mereka.
“Semoga ada khabat baik nanti. Kalau dapat khabar baik malam, jadi boleh pulang esok. Jika tidak kami kena tunda (pulang) sehari lagi,” katanya seperti dilaporkan Insertlive.
Selain Anang dan Ashanty, menantunya, Atta Hermansyah dan anak perempuan hasil perkahwinan lama bersama Kris Dayanti, Aurel Hermansyah serta cucunya turut serta dalam percutian tersebut.
Mereka tiba di Dubai pada 13 April sebelum terjebak sama dalam banjir.
Malah mereka juga hampir terperangkap di dalam pusat beli-belah yang mula digenangi air sewaktu kejadian berlaku.
Terdahulu, AP melaporkan hujan lebat itu mengatasi rekod data taburan hujan sejak tahun 1949, sekali gus meninggalkan kesan buruk pada negara di zon padang pasir itu.