Laman Utama
Bantu Pelajar Mengulang Kaji Pelajaran, Astro Tutor TV capai 1.46 Juta Tontonan
Program Tutor TV Astro, SMK: Study Squad merupakan rancangan berbentuk akademik paling ditonton dengan 1.46 juta tontonan setakat ini.
Program ini adalah sebahagian daripada kandungan pendidikan yang baru diperkenalkan oleh Astro untuk membantu pelajar mengulangkaji pelajaran mereka sekolah yang masih ditutup.
SMK: Study Squad menawarkan pelajar tingkatan 1 hingga 3 dengan modul ulang kaji untuk subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, matematik, sains, sejarah dan geografi mengikut silibus sekolah.
Malah untuk membuatkan sesi pembelajaran tambah menarik, penyanyi Wany Hasrita, pelawak Atu Zero, personaliti media sosial Lizz Chloe serta para pelakon rancangan komedi Ceria memberikan motivasi dan menggalakkan adik-adik belajar.
Pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh mengikuti program 30 Hari Menjelang SPM yang disiarkan di saluran 603 pada pukul 5 petang.
Melalui tempoh 30 hari ini, pelajar boleh mengulang kaji pelajaran bersama program Pelan A+ SPM, Misi Studi, Top Tutor dan Top Tips.
Antara subjek yang tersedia adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, matematik, sejarah, sains, matematik tambahan, biologi, fizik, kimia dan prinsip perakaunan.
Tiga saluran Astro Tutor TV adalah Tutor TV untuk sekolah rendah (saluran 601), untuk sekolah menengah bawah (saluran 602) dan untuk sekolah menengah atas (saluran 603). Malah ia turut tersedia di platform Astro Go dan On Demand.
Tonton SMK: Study Squad yang bersiaran setiap hari Rabu, pukul 3 petang di saluran Tutor TV 602 dan Astro Ceria (611 HD, 631 SD).