Berita
Bantu Pengusaha Makanan Ketika Pandemik, Siti Nurhaliza Diangkat Antara 100 Selebriti Paling Berpengaruh Di Asia Pasifik
Bagi yang mengikuti perkembangan Datuk Seri Siti Nurhaliza di media sosial, pasti anda akan perasan ada sahaja produk makanan yang dipromosikannya di Instagram Story miliknya.
Terutamanya sejak negara berdepan pandemik Covid-19 pada Mac lalu sehingga mengakibatkan banyak pengusaha makanan dan restoran terjejas jualannya.
Niat asalnya hanyalah untuk membantu golongan tersebut dengan mempromosikan apa jua produk makanan yang dihantar ke pintu rumahnya.
Begitupun, siapa sangka niat murni penyanyi nombor satu negara itu juga telah mendapat perhatian media antarabangsa, Forbes.
Buktinya, Siti Nurhaliza tersenarai antara 100 selebriti paling berpengaruh di media sosial di rantau Asia Pasifik.
Penyenaraian penyanyi berusia 41 tahun itu dibuat Forbes atas usahanya membantu golongan yang terjejas dengan mempromosikan perniagaan mereka kepada kepada lebih 8 juta pengikutnya di Instagram.
Berita gembira itu turut dikongsikan Siti Nurhaliza menerusi stau hantaran di Instagram miliknya.
"Alhamdulillah. Semoga usaha kecil ini dapat memberikan manfaat kepada kita bersama-sama. Terima kasih banyak @forbesasia," katanya.
Pemilihan itu juga dibuat Forbes berdasarkan pengaruh yang dimiliki Siti Nurhaliza selain aktif berinteraksi dengan pengikutnya.
Selain Siti Nurhaliza, seorang lagi selebriti yang tersenarai tersenarai sama adalah Neelofa.
Antara selebriti lain yang tersenarai sama termasuklah Blackpink, EXO, Amitabh Bachchan, Jay Chou, Akshay Kumar dan Chris Hemsworth.
Kesemua pemilihan itu dibuat berdasarkan kemampuan selebriti berkenaan menggunakan pengaruh dalam meningkatkan kesedaran kepada orang ramai selain menghulurkan bantuan terutama ketika pandemik Covid-19.
Kredit foto: Instagram @ctdk