Bantulah Petugas-Petugas Hospital, Sedekahkan Tudung Yang Praktikal Dan Mudah Disarung
Mya Amri
23/03/2020
|
11:59 MYT
Pelakon Zizan Razak telah berkongsi maklumat mengenai tabung sokongan kepada petugas barisan hadapan (frontiner) yang bertungkus-lumus membanteras penularan wabak COVID-19.
Tabung tersebut telah ditubuhkan oleh sebuah organisasi berkaitan kesihatan, Persatuan Tweet Perubatan Malaysia (MedTweetMY) semalam.
Zizan berkongsi perkara itu menerusi posting terbaru di akaun Instagramnya semalam.
“MedTweetMY menyeru rakyat Malaysia supaya bersama-sama tampil memberikan sumbangan bagi membekalkan makanan, kelengkapan perlindungan diri atau apa sahaja yang dapat membantu memudahcara tugas mereka buat masa sekarang. MedTweetMY akan berhubung terus dengan pihak yang berkenaan bagi memastikan kutipan akan dimanfaatkan sebaiknya.
“Buat masa ini Kami telah mengumpulkan lebih kurang 1000 helai tudung untuk petugas-petugas di hospital. Tudung yang praktikal, mudah sarung dan cepat kering ini akan digunakan bagi tujuan bersama pakaian perlindungan.
“Sekali lagi kami menyeru rakyat malaysia bersama-sama menyumbang kepada tabung kami dalam bentuk tunai pada akaun yang tertera. CIMB bank: 8009117785 (Pertubuhan Tweet Perubatan Malaysia),” maklum kapsyen tersebut.
Dalam pada itu, tindakan Zizan yang membantu menyebarkan info tersebut mendapat pujian pengikutnya.
“Terharu sangat-sangat… Terima kasih pada yang membantu. Saya wakil dari frontliner berterima kasih dan bersyukur sangat-sangat. Moga Allah melimpahi rezeki anda semua,” komen @haniey_deww
“Terbaik @zizanrazak869 doakan kami semua yang bekerja di hospital,” tulis @umieramlan
Buat pembaca Gempak, apa-apa pun pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!