Laman Utama
“Banyak Habis Masa Urus Kafe Tak Bermakna Lupakan Bidang Nyanyian” – Syamel
Penyanyi, Syamel mengakui lebih banyak menumpukan perhatian terhadap perniagaan Kafe Se-table bersama tunangnya Ernie Zakri.
Bagaimanapun kata Syamel, itu tidak bermakna dia sudah melupakan bidang muzik atau berhenti dari bidang yang diminatinya ini.
“Memang betul saya kini lebih banyak menghabiskan masa menguruskan perniagaan yang baru saya jalankan bersama Ernie.
“Tetapi itu tidak bermakna saya akan meninggalkan bidang nyanyian kerana menyanyi merupakan minat saya yang pertama.
“Cuma sekarang ini saya agak sibuk membahagikan masa untuk kedua-dua kerjaya ini. Kalau boleh dalam bidang penulisan lagu juga saya mahu kekal aktif,” katanya.
Mengulas mengenai majlis perkahwinannya yang telah dirancang bersama Ernie, Syamel berkata dia tidak berhasrat menundanya.
"Setakat ini, kalau boleh saya tak mahu tangguh majlis perkahwinan kami. Persiapan pun hampir siap dan setakat ini berjalan lancar seperti dirancang, Insya-Allah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Syamel kini kembali menghangatkan industri muzik tanah air setelah hampir setahun menyepi dengan single terbaharu yang lebih menyengat berjudul ‘Halusinasi’.
Lagu ini yang ditulis oleh Syamel sendiri, turut mendapat sentuhan istimewa dari segi melodinya oleh komposer terkenal negara seperti Iqie Hugh dan Omar K, dan diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment.
Bercerita mengenai lagu ‘Halusinasi’, Syamel berkata, Halusinasi mengisahkan tentang hubungan sepasang kekasih yang telah hambar dan tiada persefahaman lagi.
“Jalan terakhir adalah untuk meninggalkan kisah cinta yang telah terkubur itu namun pasangannya seakan berhalusinasi untuk melepaskannya, dan dia akhirnya terperangkap dalam situasi tersebut.
“Genre yang saya bawakan kali ini agak berlainan kerana ia ada groove yang berbeza berbanding lagu-lagu ballad yang biasa sayabawakan sebelum ini.
“Idea Halusinasi datang apabila komposer Iqie menghantar demo melodinya dan saya terus terpaku dan kami mengambil masa selama satu hari untuk melakukan proses rakaman.
“Saya juga akui bahawa proses rakaman tergendala seketika ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan dan sejurus tamat tempoh tersebut, kami meneruskan dengan kerja mixing dan penambahbaik.
“Menariknya tentang video muzik Halusinasi nanti, saya akan menari, dan jika penonton ingin lebih tahu, nantikan pelancarannya tidak lama lagi.
“Setelah hampir satu tahun tanpa mengelurkan single terbaru, saya rasa kini merupakan masanya untuk saya kembali kerana sudah lama peminat saya tertunggu, saya juga harap semua pendengar akan terhibur dengan Halusinasi, dan teruskan menyokong kerjaya saya,” katanya.
Lagu ‘Halusinasi’ boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.
Manakala video muzik lagu ‘Halusinasi’ ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Entertainment.