Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Banyak Isi Tersirat, Kelabu Gabungan Mantap Yonnyboii Dan Azlan Typewriter

Mya Amri 30/06/2020 | 06:21 MYT
Buat pertama kalinya penyanyi Azlan Typewriter dan Yonnyboii bergabung dengan naskhah terbaharu berjudul Kelabu.
Berpegang kepada konsep keterbukaan dan percaya bahawa muzik itu bersifat universal, Azlan akui tidak kisah meletakkan sepenuh harapan kepada lagu ciptaan YonnyBoii itu.
Karya usahasama sulung Universal Music dan Indigital Music ini secara tidak langsung menyaksikan gabungan artis generasi lama dan baru yang sekali gus memberi cetusan segar yang diharap dapat menambat hati peminat muzik tempatan.
Lagu ini sebenarnya pernah pernah tular pada Oktober 2019 selepas demo yang dinyanyikan sendiri YonnyBoii bocor di laman maya.
“Saat dipelawa untuk berduet dengan YonnyBoii, saya sendiri teruja untuk menjadi sebahagian daripada sejarah yang bakal dicipta ini. Sejak awal mendengar melodi lagu ini, ia sudah menambat hati saya.
“Malah saya boleh katakan ini sebagai satu eksperimen berbeza apatah lagi menyatukan dua generasi penyanyi.
“Bagaimanapun saya mengambil masa untuk menyatakan persetujuan terbabit menyanyikan lagu ini. Namun saya percaya keputusan untuk turut serta dalam karya ini bukan sia-sia.
“Malah selepas dikaji dan diamati dengan mendalam gabungan suara kami ini, ia mungkin akan dapat memperkuatkan lagi metabolisma aura lagu berkenaan,” kata Azlan.
Azlan ditemui di sidang media majlis perlancaran single Kelabu bertempat di pejabat Universal Music di Menara Symphony, Seksyen 13, Petaling Jaya pada Isnin.
Menariknya, rakaman lagu ini dibuat secara berasingan sekitar April lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.
“Kebetulan rumah kami masing-masing dilengkapi studio, jadi proses rakaman secara berasingan itu bukan masalah besar.
“Saya turut mengubah semula komposisi muzik ini. Proses memasukkan rakaman suara saya untuk lagu ini dalam tempoh lebih kurang enam jam.
“Saya perlu ambil masa ini untuk memastikan kualiti vokal sendiri disunting tanpa terlalu banyak proses suntingan.
“Malah untuk menambah ‘feel’, saya banyak membuat latihan telinga dengan kembali mendengar lagu berentak R&B dan rock sebagai rujukan serta ilham,” jelas Azlan.
Lagu dan lirik video muzik Kelabu dilancarkan bermula semalam di semua platform muzik terpilih. Manakala video muzik rasminya pula dijangka dilancarkan sebulan kemudian.
Pada masa yang sama dengan mengalu alukan kehadiran single berkenaan, kempen anti buli turut diadakan.
Ia akan diadakan selama sebulan sebelum video muzik rasmi lagu ini dilancarkan kelak.
Sempena dengan kempen itu juga, 30 orang pendorong atau influencer akan mendedahkan kotak misteri yang diterima mengandungi pendrive serta surat daripada mangsa buli.
Bagi peminat lagu ini atau mereka yang mahu berkongsi pengalaman kena buli, boleh menulis tanda pagar #KELABU #HentikanBuli.
#Azlan Typewriter #Yonnyboii #Kelabu
;