Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

Bapa Bakar Anak Hidup-Hidup Kerana Keluar Rumah Tak Minta Izin

Gempak 16/09/2024 | 07:55 MYT

Gara-gara keluar rumah tanpa meminta izin, seorang lelaki tergamak membakar anaknya hidup-hidup hingga menyebabkan mangsa melecur teruk.

Perbuatan kejam itu dilakukan Iwan Hasan, 44, terhadap puterinya, MH, 13, ketika kejadian di kediaman keluarga itu di Kelurahan Kota Baru, Ternate Tengah, Maluku Utara di Indonesia pada Khamis lalu.

Menurut polis, Iwan berang setelah mangsa meninggalkan rumah bersama temannya menuju ke Sofifi, Kecamatan Obe Utara di Kota Tidore pada Selasa lalu.
"Bapa MH naik angin apabila mengetahui rakan anaknya sudah pulang sedangkan mangsa masih berada di Sofifi.
"Iwan bersama teman anaknya kemudian menuju ke Sofifi pada malam Rabu dan berjaya menemui MH yang dibawa pulang pada hari sama," jelas jurucakap pihak berkuasa.

Siasatan awal polis mendapati Iwan tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan anaknya lalu dia bertindak mengasari mangsa termasuk membotakkan kepala.
"Akibat terlalu ikutkan rasa amarah, pelaku akhirnya menyiramkan minyak tanah ke atas tubuh anaknya dan membakarnya dengan api lilin.

"Tindakan melulu suspek telah menyebabkan kecederaan serius pada kepala dan tubuh anaknya.

"Dia terpaksa menjalani rawatan intensif di unit rawatan rapi (ICU) selepas dikejarkan ke hospital berhampiran. Keadaannya masih belum stabil dan sedang dipantau," ujarnya lagi.
Iwan akhirnya ditahan pihak berkuasa dan beberapa saksi turut memberi keterangan berhubung insiden menggemparkan itu.

Beberapa bahan bukti seperti tali rafia, baju, minyak tanah dan gunting turut dirampas polis untuk siasatan lanjut.
Sumber: Sinar Harian

#Anak #Indonesia #Bapa #Bakar Anak
;