Bapa Maafkan Anak Penggal Kepala Ibu: “Apapun Dia Tetap Darah Daging Saya…”
Kisah tragis seorang lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai memenggal kepala ibunya hingga maut pada Sabtu masih mendapat liputan media massa.
Sinar Harian semalam melaporkan bapa lelaki tersebut yang enggan namanya didedahkan mengaku tetap memaafkan perbuatan anaknya itu meskipun berasa sedih selepas kehilangan isteri tercinta.
Bapanya, 61, berkata tragedi berdarah itu amat mengejutkan dan memberi kesan mendalam kepada mereka sekeluarga.
"Apa pun dia tetap anak dan darah daging saya. Ini mungkin kesilapannya tetapi apa boleh buat semuanya sudah terjadi kepada keluarga kami," ketika ditemui semasa menunggu jenazah isterinya dari Hospital Sungai Buloh untuk dibawa ke Surau An Nur di Kampung Baru, Pasir Penambang.
Menurutnya, sebagai bapa sudah tentu dia inginkan yang terbaik buat keluarga, namun semua itu di luar kemampuannya.
"Saya hanya mampu berdoa agar anak saya berubah lebih baik, menjadi insan berguna dan menginsafi kesilapan yang dilakukan," katanya.
Mengulas kejadian itu, lelaki itu berkata, semasa kejadian dia tiada di rumah kerana keluar menjual udang di Kampung Bukit Belimbing.
"Saya mengetahui kejadian ini selepas dimaklumkan oleh seorang rakan. Saya bergegas pulang dan mendapati orang ramai sudah mula berkumpul di luar rumah dan arwah isteri sudah meninggal dunia," katanya.
Bapa tujuh anak itu berkata, arwah isterinya itu disifatkan seorang yang peramah, baik hati dan taat serta rajin beribadah.
Sementara itu BERNAMA melaporkan penganggur tersebut dipercayai berada di bawah pengaruh dadah sewaktu menetak ibunya.
Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata ketika kejadian, hanya suspek dan ibunya yang berusia 56 tahun berada di rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang dekat Kuala Selangor.
"Kita telah tahan reman selama tujuh hari dari 16 hingga 22 Jan dan (senjata) barang kes juga kita telah rampas.
"Kita percaya ketika kejadian itu, suspek hendak meminta duit daripada ibunya (untuk beli dadah) dan punca kejadian dipercayai berkaitan dengan pengaruh dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.