Baru 2 Kali Ke Sarawak, Wany Hasrita Teringin 'Berguru' Dengan Ibu Mentua
Baru sahaja mendirikan rumah tangga dua bulan lalu, penyanyi Wany Hasrita akui masih dalam proses menyesuaikan diri bergelar seorang isteri dan menantu kepada keluarga suaminya, Al Adib Fahmi.
Jelas Wany, dirinya terbuka untuk belajar mengenai hal rumah tangga dengan lebih mendalam lagi.
“Kehidupan saya sekarang masih lagi sedang menyesuaikan diri, bila ada suami dan keluarga mertua ini rasa sangat berbeza.
“Saya terbuka untuk belajar banyak lagi perkara dalam hidup berumah tangga.
“Kalau macam dulu fokus saya hanya untuk bekerja, tapi sekarang saya perlu bahagikan masa saya kepada suami, kerja, keluarga saya dan keluarga mertua,” katanya.
Wany ditemui pada sesi sidang media Konsert Canggung Datuk Jamal Abdillah bertempat di Royale Chulan, Kuala Lumpur pada Khamis.
Tambah pelantun lagu Menahan Rindu itu, dia turut memasang niat untuk belajar beberapa resepi air tangan masakan ibu mentuanya, namun masih belum berkesempatan.
“Kalau dekat rumah mertua di Kuching, saya dan mereka jarang makan luar, makan di rumah sahaja.
“Kalau nak cerita pasal masak, Adib dan ibunya lagi handal masak daripada saya, masakan mereka lagi sedap dari saya.
“Saya pula belum ada kesempatan untuk belajar masak dengan mak mertua saya, sebab agak sibuk.
Selain Wany, Konsert Caggung Datuk Jamal Abdillah turut membariskan penyanyi tanah air seperti Jamal Abdillah, Amir Masdi, Amelina, Aweera dan Khai Bahar.
Konsert yang bakal berlangsung pada 29 Oktober depan itu memilih Dewan 2020, Kangar, Perlis sebagai lokasinya.
Peminat boleh mendapatkan tiket pada harga bermula RM99 (Ghazal Untuk Rabiah), RM119 (Kepadamu Kekasih), RM299 (Seroja), RM499 (Kekasih Awal & Akhir) dan RM10,000 (VIP Box : 10 pax with Meet & Greet).
Untuk maklumat lanjut, layari www.zeelproduction.com atau nombor hotline 012-3530611.