Gaya Hidup
"Baru Tahu Selama Ni Ainan Ambil Wuduk Cara Salah" - Ainan Tasneem Minta Kaum Wanita Tonton Video Ambil Wuduk Yang Betul
Bekas penyanyi, Ainan Tasneem yang pernah popular dengan lagu Aku Suka Dia berkongsi satu video untuk kaum wanita tentang cara berwuduk.
Menurut Ainan, dia merasakan sangat penting untuknya berkongsi video tersebut kerana pada pendapatnya ramai perempuan yang tidak begitu tahu tentang perkara mengambil wuduk yang betul termasuk dirinya sendiri.
"Baru tahu selama ni Ainan ambil wuduk cara yang salah rupanya! Selama ni Ainan selamba je ambik wuduk waktu rambut masih dalam ikatan. So memang tak turunkan pun rambut dekat sideburn kiri kanan tu.
"Selama ni memang Ainan selak letak rambut tu kat belakang telinga. Rupanya tak sah wuduk kita kalau air tak kena pada rambut di bahagian sideburn tu sebab ianya berada dalam kawasan muka," tulis Ainan.
Tulis Ainan, mungkin cara yang mudah adalah dengan menggunting rambut di bahagian tersebut untuk memudahkan mengambil wuduk dan memastikan rambut terkena air wuduk ketika membasuh muka.
"Kalau sideburn panjang, memang kena pastikan keluarkan semua rambut tu nak bagi kena air. Agak susah kan sebab kebanyakan dari kita semua rambut panjang dan selalu ikat rambut untuk memudahkan ambil wuduk," tambah Ainan lagi.
Ainan juga memohon kepada sesiapa yang mempunyai pengetahuan tentang perkara ini agar berkongsi tips untuk memudahkan mengambil wuduk.
"Semoga Allah ampunkan dosa dan terima solat kita sebelum-sebelum ni atas sebab kejahilan kita sendiri, Aamiin," tulis Ainan pada entri tersebut.
Pada masa yang sama, Ainan turut menambah terdapat perbezaan pendapat dalam isu tersebut. Menurut Ainan, pendapat daripada mufti wilayah, hukum basuh sideburn bagi wanita adalah sunat.
"Tetapi pendapat muktabar ulama mengatakan ianya wajib jadi lebih afdal untuk kita mengikut pendapat muktabar ulama. Sebaiknya kita ikut hukum basuhan muka mengikut mazhab syafie yang wajib basuh bahagian sideburn tu ya.
"Terpulang pada anda sendiri untuk ikut pendapat yang mana. Yang penting harus yakin dengan ilmu yg kita ada. Dan sebaik-baiknya, ikutlahlah guru yang anda lebih cenderung untuk mendengar pendapatnya.
"Tapi sekiranya kita betul-betul ambil berat dengan cara kita mengambil wuduk, inshaaAllah pasti akan memberikan kesan yg lebih baik pada setiap ibadah kita," tulis Ainan lagi.
Ainan Tasneem merupakan penyanyi yang dicungkil bakat melalui laman YouTube tetapi mengambil keputusan untuk berundur daripada dunia seni apabila dia menamatkan zaman bujangnya pada tahun 2017.