Laman Utama
Battleground Malaysia: Road to Gold, Sekolah Rukun Negara Antara Inisiatif Baharu KBS Untuk Belia
Astro kini kembali dengan rancangan pertandingan sukan tarian street dance terbesar di Malaysia iaitu Battleground Malaysia: Road to Gold (#BTGMY).
Battleground Malaysia: Road to Gold ini merupakan inisiatif bersama Kementerian Belia dan Sukan, dan diperkasakan oleh Rakan Muda yang diberi nafas baharu menerusi jenama gaya hidup Rakan Ekspresi dan Rakan Muzik.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kementerian amat komited untuk membantu para penari yang berbakat besar dengan memantapkan kemahiran mereka dalam bidang tarian.
“Breaking merupakan sukan terkini yang diperkenalkan di Sukan Olimpik Paris 2024. Dengan kerjasama Astro menerusi Battleground Malaysia: Road to Gold, Kementerian amat komited untuk membantu para penari yang berbakat besar.
“Dengan memantapkan kemahiran mereka dalam bidang tarian serta mencungkil ramai lagi bakat yang boleh mewakili Malaysia di persada antarabangsa dalam sukan tarian termasuk di Sukan Olimpik kelak.
“KBS berharap agar Battleground Malaysia: Road to Gold akan menjadi platform untuk mencungkil bakat belia Malaysia, memperkasakan mereka menerusi peluang, mentor dan latihan yang diberikan oleh ahli profesional yang berkaliber, dengan aspirasi untuk memupuk generasi baharu atlet Malaysia yang akan bersinar di pentas dunia,” katanya.
Umum mengetahui Rakan Muda merupakan satu program yang diperkenalkan pada 1994 dengan misi terasnya untuk melahirkan potensi tertinggi generasi muda supaya berupaya mendukung matlamat pembangunan negara.
Masih melibatkan golongan sasaran yang sama, Rakan Muda kini dijenamakan semula dan disegarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan objektif untuk menjadi platform mengisi masa berkualiti dan menyatukan perpaduan dalam kalangan belia.
Dibuka kepada belia berusia 15 hingga 30 tahun, pelaksanaan Rakan Muda juga memberi memfokuskan pada tiga perkara utama iaitu memperkukuh jenama Rakan Muda melalui 10 Gaya Hidup yang diberi nafas baharu, menyerlahkan potensi generasi belia melalui penterjemahan minat dan kecenderungan positif, serta memperkasa pendekatan sinergi dengan pelbagai rakan kongsi strategik dan kumpulan pelaksanaan.
Rakan Muda kali in menjadi landasan utama pelaksanaan Model Pembangunan Belia Awam 2030 yang dilancarkan baru-baru ini.
Selain #BTGMY, KBS turut memperkenalkan inisiatif baharu iaitu program Sekolah Rukun Negara di bawah Rakan Muda (Rakan Demokrasi).
Program ini diselaraskan oleh salah satu agensi di bawah KBS i-LEAD atau Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan. Program Sekolah Rukun Negara diletakkan di bawah Rakan Demokrasi bagi menggalakkan kefahaman dan pengetahuan tentang demokrasi dalam kalangan belia di Malaysia.
Pelaksanaan program Sekolah Rukun Negara adalah untuk meningkatkan pengetahuan belia bagi memahami Prinsip Rukun Negara, konsep dan nilai demokrasi. Di samping mendidik belia celik, kesedaran yang tinggi dalam menjaga keharmonian negara amat penting melalui perpaduan, meraikan kepelbagaian kaum dan menghormati perbezaan agama dan budaya.
Antara faedah penyertaan belia dalam Rakan muda termasuklah meningkatkan kemahiran menerusi program Skills for Life, selain menggilap bakat, minat dan potensi mereka. Belia yang menyertai Rakan Muda juga akan dapat meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri, meningkatkan hubungan dan jaringan serta dapat memanfaatkan masa dengan aktiviti yang berfaedah.
Istimewanya, peserta dapat menikmati pelbagai ganjaran melalui penyertaan program Rakan Muda daripada rakan strategik yang bekerjasama dengan KBS iaitu Grab, Food Panda, Shopee dan Lazada.
Belia boleh menyertai Rakan Muda melalui pendaftaran dalam talian di laman web KBS di www.kbs.gov.my/rakanmuda.
#BTGMY akan dihoskan dalam tiga bahasa oleh Sherry Alhadad, Dennis Yin dan Saint TFC manakala selebriti versatile iaitu Zizan Razak akan memegang tanggungjawab sebagai juri.
Saksikan Battleground Malaysia: Road to Gold menerusi Astro RIA (Saluran 104), Vinmeen (Saluran 202) & SHOWCASE (Saluran 413) setiap Jumaat, 10 malam mulai 29 September.
Rancangan ini juga boleh ditonton di Astro AEC (Saluran 306) setiap Sabtu, 11 malam mulai 30 September.
Untuk info, pertandingan ini memaparkan empat kapten tarian terkemuka yang ditugaskan untuk memilih kru seramai sepuluh orang berdasarkan kebolehan menari mereka.
Kapten-kapten ini terdiri daripada pemenang pingat emas Sukan SEA acara Breaking iaitu Lego Sam, wakil Malaysia ke Sukan SEA, Khenobu, ahli kumpulan muzik 3P (Threee Production) Danny Lee dan juara Astro Battleground 2010 & 2011, Seven.
Mereka akan membentuk pasukan masing-masing dengan menguji kemahiran penari-penari yang bertanding menerusi pelbagai cabaran.
Rancangan ini turut membawa penari-penari dari pelbagai latar belakang untuk bertarung dengan gaya street dance mereka. Hanya penari yang terhandal akan kekal dalam pertandingan ini.
Astro bakal mengadakan pusingan grand finale secara langsung pada 3 November di mana hanya pasukan tarian terhandal akan bertanding di hadapan juri-juri antarabangsa.
Kru juara akan membawa pulang RM100,000, manakala naib juara akan menerima RM30,000. Selain daripada itu, peserta-peserta dalam kru juara akan bersaing sesama sendiri untuk memenangi hadiah tambahan RM25,000.