Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Bawa Watak Bapa, Qi Razali Menangis Kenang Arwah Bapa – “Dia Tak Pernah Tengking, Marah Dan Pukul Kecuali…”

Khairil Khusyairi 02/11/2024 | 04:50 MYT
Pelakon dan pengacara Qi Razali mengakui pertama kali mengalirkan air mata menonton filem lakonannya sendiri.

Menangis Tonton Filem Lakonan Sendiri

Menurut Qi atau nama sebenarnya, Qushairi Mohammed Razali Wong, 45, memegang watak seorang bapa adalah sebuah impiannya dan setiap aktor.

“Bila terima tawaran ini, saya rasa macam tua bila bawa watak seorang bapa. Tapi bagi saya, jika nak jadi pelakon, watak-watak macam inilah yang jadi impian setiap pelakon.

“Saya dapat mendalami macam mana perasaan kasih cinta seorang bapa kepada anak. Kalau nak betul-betul kena ada anak sendiri.

“Ia umpama sayang saya pada kucing itu gandakan kepada seratus. Ini pertama kali saya menangis tengok filem sendiri,” ujarnya kepada Gempak pada sidang media filem Babah, baru-baru ini.

Arwah Bapa Idam Watak Serius

Tambah Qi, dia menyifatkan watak dalam filem lakonannya itu merupakan dambaan arwah bapanya lagi sejak dirinya mengabdikan diri dalam dunia seni.

“Bapa saya tanya ‘bila nak buat cerita yang serius, berat dan betul-betul perlukan lakonan dan luahan jiwa’. Dia selalu tengok saya berlakon dalam genre komedi dan aksi.

“Bila saya tengok cerita ini, saya rasa inilah yang arwah bapa saya maksudkan itu. Jadi tak sempat dia tengok.

“Saya rasa dia boleh suka dengan filem ini,” kongsinya.

Tak Pernah Tengking, Marah

Berkongsi lebih, Qi juga menjadikan arwah bapanya sebagai idola dan rujukan dalam kehidupannya.

“Arwah bapa saya sangat penyabar, dia tak pernah tengking, marah dan pukul kecuali dua insiden besar iaitu saya pernah tipu dia pergi Port Dickson dengan kawan-kawan.

“Saya jadikan arwah bapa saya sebagai idola, saya belum ada anak, saya cuma boleh bayangkan macam mana kasih sayang seorang anak.

“Bila ibu atau bapa punya pengorbanan, itu memang lebih. Saya guna bapa saya sebagai rujukan. Kita ada hero dalam diri kita,” kongsinya lagi.

Filem Babah yang menampilkan Qi Razali, Sweet Qismina, Cristina Suzanne, Adam Lee, Kis Aisha, Dhia Arissa, Daniella Qabeela dan ramai lagi akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 5 Disember 2024.

ARTIKEL BERKAITAN: Dalam Diam Rupa-Rupanya Qi Razali Sudah Bertunang, Bakal Nikah Tahun Depan - “Dia Orang Industri Tetapi…”

#Filem #Qi Razali #Menangis #Kenang #Arwah Bapa #Babah
;