Bawa Watak Ustaz Tapi Bukan Islam, Ini Komen Randy Pangalila- "Tiada Masalah, Tak Ganggu..."
Pelakon popular Indonesia, Randy Pangalila akui bukan isu besar buat dirinya apabila perlu membawakan watak ulama iaitu sebagai ustaz dalam filem Qodrat sedangkan dia bukan beragama Islam.
Kata Randy apa yang dibawakan dalam filem Indonesia yang sedang ditayangkan di pawagam Malaysia itu hanyalah wataknya sahaja berbeza dengan dirinya di luar set.
"Isu agama pada saya tiada masalah kerana saya di dalam filem ini bukan Randy tetapi saya melakonkan watak sebagai seorang Ustaz Jaafar. Saya profesional.
"Malah segala ayat yang saya baca di dalam filem ini semuanya dipantau serta dibantu oleh ustaz ruqyah di sini," katanya kepada Astro Gempak.
Randy berkata kepada Astro Gempak dalam satu sesi temu bual bersama pelakon dan pengarah Qodrat secara virtual baru-baru ini.
Menurut Randy lagi, ia bukan kali pertama dia membawakan watak seorang Muslim malah keluarganya memahami.
"Di Indonesia setiap orang berbeza pendapat. Lagipun ini bukan pertama kali saya membawakan watak sebagai seorang muslim.
"Sebagai seorang yang beragama Kristian, ia tak mengganggu kehidupan peribadi saya dengan lakonan. Malah keluarga juga memahami," beritahunya lagi.
Selain Randy filem arahan pengarah hebat Charles Gozali itu turut dibintangi oleh aktor berkaliber Vino G. Bastian dan Marsha Timothy.
Filem yang dipersembahkan oleh Astro Shaw Sdn. Bhd., Magma Films & Rapi Studios ini mengisahkan tentang seorang Ustaz Qodrat yang berpuluh tahun menggunakan ilmu ruqyah untuk menolong orang namun gagal meruqyah anaknya sendiri, Alif Al-Fatanah yang dirasuki syaitan bernama Assuala.
Mencari jawapan atas kegundahannya, Qodrat pulang ke tempatnya menuntut ilmu. Namun, tempat itu sudah tidak seperti dulu kerana gangguan-gangguan yang tidak dapat dijelaskan.
Ketika situasi semakin tegang, Qodrat harus berhadapan dengan traumanya ketika meruqyah Alif Amri iaitu anak bongsu kepada Yasmin, kerana nama anak tersebut sama dengan arwah anaknya.
Di tengah ujian yang meruntuhkan jiwa, Qodrat kembali menghadapi amukan Assuala. Kali ini, Qodrat harus memilih antara menuruti kemarahannya atau kembali menemukan keimanannya.
Jadi tunggu apa lagi, saksikan Qodrat yang kini berada di pawagam sejak 24 November lalu di seluruh pawagam Malaysia!