Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Bayaran Di TV Sedikit, Masih Di Takuk Era 80-an…”- Zainal Abidin Lebih Puas Terima Tawaran Nyanyian Korporat

Syafiqah Jalal 07/09/2022 | 08:48 MYT
Penyanyi lagenda, Datuk Zainal Abidin memilih untuk menerima tawaran menyanyi hanya di majlis atau acara korporat berbanding muncul di televisyen (TV).
Kata Zainal Abidin, 63, diusianya kini dia lebih selesa memilih tawaran yang setimpal dengan bakatnya berbanding mengejar populariti.
“Setelah lebih dua tahun kita sunyi tanpa sebarang persembahan pentas secara langsung, industri seni tempatan kembali rancak dengan berbagai konsert dan persembahan daripada artis-artis tempatan
“Alhamdulilah saya juga telah menerima banyak undangan untuk menyanyi di majlis korporat dan tertutup.
“Bagi saya keluar TV hanya untuk artis yang mahu atau masih mengejar populariti iaitu sebagai cara hendak memberitahu yang mereka masih aktif.
“Manakala bagi saya pula, sekarang dah sampai satu tahap di luar TV lebih menguntungkan. Lagipun sekarang sudah ada media sosial untuk beritahu yang kita masih aktif menyanyi,” katanya kepada Astro Gempak.
Zainal ditemui di ketika Konsert Setia Live Out Loud yang berlangsung di Setia EcoHill Walk, Semenyih pada Sabtu.
Selain Zainal, konsert yang dihadiri lebih 6,000 penonton itu turut membariskan empat orang artis tempatan lain iaitu Hael Husaini, Santesh, Nicholas Teo dan Pricilla Abby.
Menurut Zainal lagi, dia selesa bekerja di sebalik tabir iaitu sebagai pengatur acara konsert kerana bayaran di TV masih di tahap tidak memuaskan.
“Pada saya lebih selesa dan baik begini, tak perlu lagi kerja sampai empat hari tapi pendapatannya tidak setimpal.
“Lagipun saya lihat pendapatan di TV rendah, masih di takuk era 80-an, sedangkan harga barang dan cukai pun kini sudah semakin meningkat.
“Saya rasa perkara ini perlu diberi perhatian kerana bayaran yang diberikan masih di tahap yang kurang memuaskan,” ujarnya.
Zainal telah mendendangkan tujuh buah lagu, termasuk lagu wajib miliknya, Hijau. Beliau turut menyanyikan secara santai beberapa lagu hit seperti Suraya dan Hanya Di Radio. Selain menyanyi, beliau juga telah menunjukkan kepakarannya memainkan alat perkusi sambil membuat persembahan.
Rata-rata penonton yang hadir ingin menyaksikan persembahan artis pujaan mereka. Hael Husaini adalah antara penyanyi yang ditunggu persembahannya. Menyanyikan hampir semua lagu hit tulisannya sendiri, persembahan Hael Husaini gamat dengan jeritan peminat-peminat yang teruja menonton Hael Husaini di atas pentas.
Biarpun Setia Live Out Loud merupakan konsert percuma namun usaha penganjur, Afrozapin Networks, menyediakan sistem bunyi lengkap dengan kualiti bertaraf antarabangsa dan penataan cahaya dan paparan seni visual yang sungguh mengagumkan berjaya menjadikan Setia Live Out Loud sebuah konsert yang gah.
Kemuncak konsert Setia Live Out Loud adalah persembahan nyanyian beramai-ramai oleh barisan artis yang telah menyanyikan lagu ‘Ikhlas Tapi Jauh’, diiringi percikan mercun dan bunga api yang menaburi ruang udara kawasan konsert Setia Live Out Loud.
#Konsert #Zainal Abidin #Menyanyi #Tawaran #Korporat #Setia Live Out Loud
;