Laman Utama

Bazar Ramadan Di Wilayah Persekutuan Dibenarkan – Menteri Wilayah:  “Sekarang Pasca COVID-19, Kita Perlu Gerakkan Aktiviti Ekonomi…”

Fiza Kamarudin
08/02/2022
22:44 MYT
Sponsor Banner
Bazar Ramadan Di Wilayah Persekutuan Dibenarkan – Menteri Wilayah:  “Sekarang Pasca COVID-19, Kita Perlu Gerakkan Aktiviti Ekonomi…”
Bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dibenarkan beroperasi pada tahun ini dengan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 sedia ada, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim.
Beliau berkata, lesen bagi pengoperasian Bazar Ramadan akan diberikan kepada individu yang ingin berniaga bagi menggerakkan aktiviti ekonomi di Wilayah Persekutuan.
"Bazar Ramadan akan dibuka seluas-luasnya untuk yang ingin berniaga. Jika dapat lesen berniaga, mereka perlu berniaga dan jangan beri orang lain berniaga.
“Sekarang adalah pasca COVID-19 dan kita perlu gerakkan aktiviti ekonomi," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan Agrobazaar dan Karnival Trak Makanan Putrajaya, pada Selasa.
Pada tahun lepas, pengoperasian Bazar Ramadan di semua Wilayah Persekutuan dibenarkan dengan pematuhan SOP ketat antaranya kawalan keluar masuk pengunjung dan penjarakan fizikal.
Mengenai kebimbangan peningkatan kes COVID-19, Shahidan berkata Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) turut memantau rapi perkembangan itu dan menasihatkan orang ramai agar tidak berkunjung ke tempat tumpuan umum bagi mengekang penularan wabak tersebut.
"Aktiviti perniagaan akan terus berjalan, namun perjumpaan dalam skala besar perlu dielakkan," katanya.
Terdahulu, Shahidan menanam pokok tekoma atau nama saintifiknya Tabebuia Rosea yang terkenal dengan nama julukan pokok Sakura Malaysia, di pesisiran Tasik Putrajaya, Presint 2 sempena kempen penanaman 400,000 pokok di Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Menurut Perbadanan Putrajaya (PPj), pokok yang ditanam Shahidan merupakan pokok ke-50,000 yang ditanam di Putrajaya.
Sumber: BERNAMA
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar