Laman Utama
Bebas Covid-19 Tapi Mafarikha Masih Ditahan Wad- “Demam, Platelet Turun, Masuk Darah Orang…”
Penyanyi Mafarikha akui pasrah dan reda apabila masih menjalani rawatan susulan meskipun sudah bebas dari jangkitan Covid-19.
Menurut Mafarikha, 29, dia masih lagi mempunyai symptom ‘long Covid-19’ seperti demam, platelet menurun sehingga terpaksa dimasukkan darah ke badannya selepas lebih 2 minggu dijangkiti virus berkenaan.
“Drama air mata pagi-pagi seorang diri. Masih demam 38 darjah Celcius. Platelet darah turun dari 12 ke tujuh.
“Selepas ini nak kena masukkan darah. Saya sudah tahu apa yang saya rasa sekarang,” katanya seakan meluahkan perasaan.
Pelantun lagu Tolong itu berkongsi perkara berkenaan di InstaStory miliknya semalam.
Menerusi hantaran lain, Mafarikha turut menjelaskan dirinya belum dibenarkan pulang ke rumah kerana doktor masih mahu memantau keadaan paru-parunya.
“Ada yang tertanya-tanya kenapa lama sangat duduk di hospital biarpun sudah negatif. Saya kena tebuk keliling paru-paru, doktor nak tunggu betul-betul kering.
“Takut nanti kalau tutup awal, air akan bertakung lagi. Pada masa sama saya masih menggunakan oksigen dan antibiotik,” katanya.
Dalam pada itu, Mafarikha turut jawapan segmen Q&A lain yang memberitahu dia tidak pasti jika boleh menyanyi lagi seperti dahulu atau tidak.
“Tak tahu lah, nafas saya dah tak macam dulu lagi. Saya pun tak cuba menyanyi lagi.
“Ia akan mengambil masa berbulan untuk pulih saya harap kamu semua boleh menghormati masa yang saya akan ambil nanti. Saya tak pasti ia akan mudah untuk pulih kali ini,” jawabnya.
Terdahulu, Mafarikha yang baru pulang dari Istanbul, Turkiye dengan suaminya, Muhammad Zariq Noorulyusaa dimasukkan ke hospital Oktober lalu selepas mengalami cirit-birit dan muntah berpanjangan.
Doktor kemudian mengesahkan dia dijangkiti Covid-19 tahap lima selain nyaris ditidurkan.